Buat Duit Dengan Produk Recycle

0
1853

Apa itu kitar semula? Secara amnya, kitar semula boleh didefinisikan sebagai pemprosesan barang yang telah digunakan menjadi barang baru. Di Malaysia, konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) telah diperkenalkan bagi mengajak rakyat Malaysia menggunakan/mengendalikan barang-barang yang boleh dikitar semula.

Tujuan program kitar semula ini diperkenalkan adalah untuk;

Mengurangkan jumlah sampah yang dibuang setiap hari.
Mengurangkan kadar kepupusan bahan mentah.
Mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.
Mengurangkan kos untuk memelihara alam sekitar.
Memperbaiki tahap kebersihan dan kualiti hidup manusia.

Antara jenis barang yang boleh diproses semula menjadi barang baru adalah kertas, kaca dan aluminium. Barang-barang ini apabila diproses semula boleh menjadi kertas, barangan kaca dan bekas aluminium yang baru.
Di samping itu juga, terdapat banyak pihak/agensi yang terlibat dalam program kitar semula ini seperti Alam Flora Sdn. Bhd., Southern Waste Management Sdn. Bhd., Genting Sanyen Industry Paper Sdn. Bhd., Persatuan Pekilang Pulpa dan Kertas Malaysia, dan juga pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Potensi barangan kitar semula

Melihat kepada penghasilan jumlah sampah sarap oleh penduduk Malaysia yang semakin meningkat, tidak mustahil untuk anda menjana pendapatan sampingan daripadanya. Terkejut? Ianya tidak mustahil kerana penghasilan sampah sarap yang banyak menyumbang kepada jumlah barangan yang boleh dikitar semula.

Anda boleh mengambil kesempatan ini dengan mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula dan menjualnya kepada pihak/kilang tertentu. Namun, apa yang lebih menarik lagi adalah anda boleh mencuba aktiviti membuat kraftangan daripada bahan kitar semula untuk menambah pendapatan anda. Apa yang penting adalah kreativiti anda untuk menjadikannya menarik. Anda boleh mendapatkan barangan kitar semula di mana-mana sahaja sama ada yang dibuang di tong sampah atau yang ditinggalkan secara merata sahaja.

Tidak kira di mana anda berada, pasti ada sahaja barang-barang terbuang yang dapat anda lihat. Di dalam rumah, di luar rumah malah dimana-mana sahaja. Ada yang dibuang kedalam tong sampah dan ada juga dibuang merata-rata. Daripada ianya dibiarkan begitu sahaja atau mereput di tempat pelupusan sampah, lebih baik anda mengubahnya dan menjana pendapatan daripada gubahan tersebut.

Idea kreatif barang kitar semula

Anda perlu menggunakan kreativiti anda untuk menggunakan barang terbuang dan menjadikannya satu barangan yang lain yang mempunyai rupa bentuk dan fungsi yang berbeza. Oleh itu, pembaziran penggunaan sumber semulajadi dapat dikurangkan sekaligus mampu memelihara alam sekitar daripada terus tercemar.

1.Produk kraftangan daripada suratkhabar lama. Sebagai contoh, bakul atau pasu yang dihasilkan daripada suratkhabar lama. Produk ini sudah lama berada di pasaran dan menjadi pilihan pengguna untuk dijadikan sebagai hiasan atau cenderahati perkahwinan.

2.Gelung-gelung tisu atau apa sahaja gelung kertas yang sudah kehabisan isinya, sudah pasti akan dibuang begitu sahaja, tetapi jika diguna semula dengan kreatif, ianya mampu menjadi barangan berlainan fungsi yang berguna dan menawan. Sebagai contoh, ianya boleh disusun menjadi bekas untuk meletakkan alat tulis atau boleh juga dijadikan bekas untuk meletakkan sudu di meja makan.

3.Pallet terbuang juga boleh dijadikan perabot untuk kegunaan didalam mahupun luar rumah. Idea kreatif ini bukan sahaja menarik untuk dipandang, malah selesa untuk di gunakan selain kosnya yang murah dan menjimatkan. Anda mungkin perlu mengeluarkan kos untuk mengecat semula pallet kayu itu agar lebih ceria dan berwarna-warni.

4.Botol-botol plastik boleh digunakan semula untuk dijadikan sebagai pasu untuk tanaman pokok atau sebagai bekas serbaguna. Ianya lebih fleksibel dan mesra alam.

5.Tin-tin kosong yang dicat semula boleh dijadikan sebagai bekas serbaguna yang sungguh menarik dan pelbagai kegunaan. Catkan semula tin tersebut, dan gabungkan pelbagai saiz menjadi satu produk, tentunya ramai pelanggan yang akan beratur untuk membelinya.

6.Anda boleh menjadikan kotak-kotak kecil sebagai tempat untuk menyimpan majalah dan juga buku-buku. Hiaskan dengan sedikit pembalut kertas yang berwarna-warni, pastinya ramai yang akan teruja untuk memilikinya.
Barang terbuang juga mempunyai nilainya yang tersendiri, ditambah lagi dengan cara kita mengolahnya untuk menjadikannya sesuatu yang baru, tentunya nilai barangan tersebut akan menjadi lebih tinggi dan eksklusif. Semuanya terpulang kepada kemahuan kita untuk mencorakkannya.

Mungkin bukan semua daripada kita mempunyai kemahiran dan idea kreatif untuk mengolah barang-barang tersebut, namun jangan dibuang begitu sahaja, anda masih boleh mengumpulkannya dan menjual kepada mereka yang memerlukannya! Anda masih boleh meraih sedikit keuntungan, malah anda juga dalam masa yang sama telah menjalankan tanggungjawab anda untuk memelihara alam sekitar daripada tercemar.

Recycle board mesra alam

Reboard Malaysia Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang menghasilkan pelbagai produk recycle board. Di samping itu juga, syarikat yang bernaung di bawah Kinta Press and Packaging (M) Sdn. Bhd. ini turut menghasilkan pembungkus khas dan premium untuk produk-produk tertentu.

Menariknya, recycle board boleh dibentuk hampir apa jua rekaan yang menarik, bermula daripada hiasan untuk meletakkan pelbagai barangan hingga kepada bentuk perabot seperti kerusi dan meja, Selain boleh direka dalam apa jua bentuk yang menarik, recycle board juga amat ringan, mudah dialih dan dipasang malah boleh dibuka untuk disimpan. Atas faktor itu juga, produk tersebut dapat menjimatkan kos pengangkutan dan juga upah memandangkan syarikat itu memperkenalkan konsep pasang sendiri oleh pengguna.