Kecil-kecil Cili Padi – Idea Perniagaan Kecil yang Boleh Menjadi Besar

0
1922

Perniagaan makanan/minuman di pasar malam

produk pasar malam

Siapa yang tidak pernah pergi ke pasar malam? Pasar malam seakan sudah menjadi destinasi ‘wajib pergi’ untuk rakyat di Malaysia. Pasar malam ada di mana-mana, di kampung mahupun di ibu kota. Oleh itu, cuba ambil peluang ini dengan berniaga di pasar malam. Perniagaan yang paling laris dan mendapat permintaan tinggi tentunya adalah makanan/minuman. Yang penting, sedap, berpatutan, dan servis yang pantas. Cuba fikirkan makanan/minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, dan cipta ‘tagline’ atau nama menarik untuk makanan/minuman tersebut bagi menarik perhatian pembeli. Contoh: Nasi Lemak Terbakar atau Sirap Bandung Pink Lady. Ramai usahawan restoran terkemuka/caterer yang bermula dengan hanya berniaga di pasar malam.

Perniagaan pakaian kanak-kanak

Perniagaan pakaian kanak-kanak merupakan satu perniagaan yang menguntungkan. Permintaan terhadap produk ini tidak putus-putus kerana proses tumbesaran mereka berterusan, dan pastinya ibu bapa akan terus membeli pakaian anak-anak mereka seiring dengan peningkatan umur. Mungkin anda boleh mulakan secara kecil-kecilan dengan membeli secara borong dan kemudian jual semula kepada jiran-jiran atau saudara terdekat. Keuntungan yang anda perolehi itu boleh dikumpulkan untuk dijadikan modal membuka kedai pakaian anda sendiri pula.

Perniagaan tudung/selendang wanita

tudungonline

Perniagaan tudung/selendang wanita amat sesuai dimulakan secara kecil-kecilan dan kemudian dijual secara online. Permintaan terhadap produk ini sangat tinggi daripada wanita berhijab. Jika anda fikir perniagaan ini tidak akan ke mana-mana kerana saingan yang tinggi daripada jenama sedia ada, anda salah. Fareeda Scarfs telah buktikan bahawa perniagaan tudung/selendang wanita ini sentiasa mendapat perhatian para wanita, malah boleh mencetuskan fenomena semasa. Bermula secara kecil-kecilan dengan pelanggan daripada lingkungan ahli keluarga, Fareeda Scarfs kini mencatatkan jualan hampir jutaan ringgit setiap bulan.

Perniagaan biskut/manisan homemade

Permintaan terhadap produk homemade kian mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Rasanya yang lebih enak berbanding produk sedia ada di pasaran mampu membuatkan pelanggan untuk membeli secara berulang kali. Jika kita lihat kepada trend semasa, pengusaha produk homemade ini memasarkan produk mereka secara online dengan tenaga kerja yang terhad. Jika permintaan yang diterima semakin meningkat, mereka mungkin perlu untuk menguruskan pengeluaran secara besar-besaran pula. Yang penting ilmu dan kesungguhan untuk mengembangkan perniagaan itu perlu ada dalam diri setiap individu.
Terdapat banyak lagi idea perniagaan kecil yang apabila diusahakan dengan betul, berpotensi untuk berkembang maju.

Harus diingat, untuk memulakan perniagaan, tidak perlu tunggu hingga segalanya sempurna. Apa yang penting idea anda boleh diterima masyarakat dan anda boleh terus memulakan perniagaan kecil tersebut. Pengalaman yang diraih sepanjang mengendalikan perniagaan itulah yang menjadikan perniagaan anda bertambah sempurna.