Pendapatan Lumayan Menulis Skrip Drama TV

0
1799

script writier

Drama-drama melayu dahulunya adalah terbitan RTM. Kita dihiburkan oleh pelakon-pelakon popular Rubiah Suparman, Dato’ Rahim Razali dan lain-lain lagi. Penulis-penulis skripnya adalah kakitangan RTM. Di antaranya Bidin Subari (arwah), Sani Untak, Atondra dan lain-lain lagi.

Dipertengahan tahun 1980an YB Dato Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan telah menswastakan drama RTM kepada penerbit-penerbit tempatan. Beberapa penerbit yang aktif muncul seperti Mash Productions, Skop Productions, Pyramid dan sebagainya. Penulis-penulis prolifik ketika itu termasuk A. Wahid Nasir (siri Opah), Takiyuddin, Yusof Haslam dan banyak lagi.

Bertitik-tolak dari penswastaan ini maka bermulalah penulisan skrip drama tv sebagai karier sara-diri yang ampuh.

Dewasa ini stesen TV amat banyak; RTM (1 dan 2), Media Prima (TV3, TV9, NTV7, TV8), Astro (Ria, Prima, Oasis, Warna) dan TV al-Hijrah.

Setiap program TV perlukan penulis skrip tidak kira ianya program hiburan, dokumentari, drama, masakan, majalah, berita dan sebagainya.

Stesen TV perlukan penulis skrip. Penerbit-penerbit swasta yang membekalkan program TV ke stesen TV perlukan khidmat penulis skrip. Penerbit-penerbit filem perlukan penulis skrip. Penerbit-penerbit aneka program dalam bentuk VCD/DVD perlukan penulis skrip. Pengendali WebTV pun perlukan penulis skrip. Saluran NatGeo, History, Crime Investigation Asia (CI), AFC (Asian Food Channel), Sports Channel juga perlukan penulis skrip.

Daerah penulisan skrip adalah daerah yang sentiasa mempunyai kekosongan selagi orang ramai bergantung kepada TV, filem, VCD/DVD dan internet untuk hiburan mereka.

Pendapatannya memang lumayan. Bermula dari RM5, 000.00 untuk satu nasykah drama 90 minit boleh mencapai sehingga lebih RM70, 000.00 untuk drama bersiri.

Keistimewaan kerjaya penulisan skrip ialah ianya boleh dijadikan kerjaya sepenuh masa di rumah atau sebagai kerjaya part-time atau kerjaya bergaji tetap di stesen-stesen TV.

Anda pilih yang mana anda rasa sesuai.

Cuma anda perlu ingat bahawasanya untuk menjadi sorang penulis skrip drama tv anda harus mempunyai sifat-sifat ini:

  • Lebih banyak diam dan mendengar keluh-kesah orang sekeliling anda.
  • Lebih banyak diam dan sensitif kepada ragam mereka yang di keliling anda.
  • Lebih banyak membaca dan memahami sub-teks bahan yang dibaca.
  • Berupaya mengolah bahan yang diperolehi sebagai sebuah cerita yang menghiburkan.
  • Bersedia untuk bersendirian ketika mengolah bahan-bahan yang dikumpulkan.
  • Bersedia untuk belajar, belajar dan belajar lagi dari mereka yang lebih berpengalaman.

 

Jika anda sudah mempunyai sifat-sifat yang di atas langkah kedua ialah menimba ilmu supaya pengolahan bahan-bahan itu dapat ditekskan dan seterusnya didagangkan kepada penerbit-penerbit yang berminat.

Jelas urusniaga skrip tv ini sangat unik kerana ia dimulakan oleh anda seorang, dipasarkan oleh anda seorang juga dan anda menikmati hasilnya sendirian tanpa perlu ada campurtangan orang ketiga.

Bahan-bahannya hak eksklusif anda. Masa anda yang punya. Bila hendak dipasarkan terpulang kepada anda.

Walaupun begitu onak dan durinya ada.

Setiap urus-niaga ada tata-cara dan strateginya. Ianya termasuk:

  1. Menyediakan kertas kerja (di sini maksudnya sinopsis) untuk memancing minat penerbit. Cerita apa? Sasarannya siapa? Moden atau purba?
  2. Menyiapkan skrip dalam jangkamasa yang dijanjikan. Secepat-cepatnya dua minggu untuk sebuah telemovie. Anda sudah bersedia?
  3. Sanggup mengolah skrip itu semula jika deraf pertama tidak dipersetujui penerbit.
  4. Tawar-menawar harga skrip mengikut taraf yang anda letakkan pada diri anda.
  5. Memastikan anda memperolehi bayaran yang penuh kepada skrip anda.

 

Salah satu kelebihan menjadi penulis skrip drama tv ialah anda mengenali banyak orang dan yang terpenting sekali mereka yang berada di stesen tv.

Perhubungan dengan mereka yang berada di stesen tv amat penting sebab anda boleh melangkah ke satu tahap lagi yaitu menjadi penerbit program tv. Di sinilah nanti hubungan itu memainkan peranan untuk membolehkan anda memasarkan produk anda kepada mereka.

Atau anda mungkin berminat untuk mengarahkan sendiri cerita yang anda ilhamkan? Atau melakonkan sebarang watak di dalamnya?

Jelas di sini masa depan seorang penulis skrip drama tv amat anjal. Ia terpulang kepada diri anda sendiri seanjalnya mana yang anda inginkan.

Menulis adalah kerjaya seumur hidup asalkan anda belum mamai lagi. Bersikap kreatif mengikut pengalaman anda dan mudah-mudahan anda akan berjaya