Penternakan Lintah, Potensi Keuntungan Berganda Setiap Bulan

0
1198

Lintah merupakan cacing yang mempunyai penyedut di kedua hujungnya. Saiznya pula adalah diantara setengah inci sehingga ke sepuluh inci panjang. Haiwan ini mempunyai 34 segman pada badannya. 6 segmen hadapan bertindak sebagai penyedut dan digunakan untuk berhubung atau melekat dengan mangsa untuk menghisap darah. Gabungan lendir dan sedutan akan membenarkan lintah melekat pada mangsa dan dalam masa yang sama juga akan melepaskan ‘hirudin’ melalui air liur.

Lintah atau nama saintifiknya Hirudo Medicinali (Medicinal Leeches) dikenali sebagai sumber perubatan bermula sejak abad pertengahan lagi. Pada masa itu lintah kerap digunakan untuk mengatasi masalah-masalah pendarahan dalaman dan juga digunakan dalam pembedahan plastik. Para saintis dan penyelidik juga percaya bahawa enzim di dalam air liur lintah boleh menghentikan atau mencegah darah daripada menjadi beku dan membantu rawatan manusia.

Prospek produk berasaskan lintah

Minyak lintah merupakan produk terkenal yang dihasilkan menggunakan lintah sebagai bahan utamanya. Ianya dipasarkan secara domestik dan juga mendapat permintaan dari pasaran serantau. Usaha menternak lintah secara komersil untuk tujuan perubatan masih belum dieksploitasi sepenuhnya di negara ini, walaupun ianya dilihat berpotensi untuk menjana pendapatan baru. Sebagai contoh, krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan kulit dan membaiki parut.

Negara-negara Barat seperti Britain, Jerman dan Rusia menternak lintah untuk tujuan khusus, dan hasil penyelidikan mereka membuktikan lintah boleh digunakan dalam perubatan moden dan berjaya menghasilkan produk siap seperti pil berkaitan sakit jantung yang dipasarkan kepada umum. Mereka juga menggunakan lintah hidup untuk menghisap darah pesakit dan kemudiannya darah itu dikeluarkan untuk dianalisis mengenai penyakit yang mungkin dihidapi oleh pesakit itu. Bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara China, Thailand dan kini di Korea Selatan.

Khasiat kesihatan dalam lintah terdapat pada ‘hirudin’, iaitu sejenis protein yang berfungsi menghalang pembekuan darah, yang terdapat dalam air liur lintah. Di China terdapat dua syarikat iaitu Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd dan Nanning Kekang Biotech Co. Ltd yang menternak lintah H. manillensis secara berskala industri untuk menghasilkan hirudin. Guangxi Lannuo Biotech Co. Ltd telah memfailkan paten untuk sistem ternakan H. manillensis dan teknologi ekstrak hirudin. Kekang Biotech Sdn. Bhd. menyatakan mereka mempunyai fasiliti ternakan H. manillensis  yang terbesar di dunia.

Ternakan lintah

Industri ternakan lintah adalah satu industri yang masih baru di negara kita. Jabatan Perikanan juga sedang merangka Pelan Pembangunan Ternakan Lintah. Pada masa ini Persatuan Usahawan Ternakan lintah Malaysia (PELINTAH) telah pun ditubuhkan pada awal tahun 2009. Persatuan ini telah dinaungi oleh Jabatan Perikanan yang sekaligus bertindak sebagai penasihat persatuan. Mereka yang berminat menceburi dalam penternakan lintah digalakkan untuk menjadi ahli persatuan ini kerana mereka akan dibantu dari segi maklumat dan juga peluang pasaran.

Lintah bukan sahaja mendapat pasaran yang baik di dalam negara malah turut diterima baik dari negara luar. Dengan harga pasaran yang boleh mencecah sehingga RM80 sehingga RM120 sekilogram (anggaran diantara 200 ke 250 ekor lintah), ianya pasti menjanjikan pulangan sampingan atau pendapatan tetap yang lumayan.

Penternakan lintah boleh dimulakan dengan cara pemeliharaan induk lintah. Induk lintah akan mengeluarkan telur setelah berusia 6 bulan dan keatas. Proses ini akan menghasilkan anak-anak lintah yang akan dipelihara antara 4 hingga 5 bulan, iaitu tempoh matang anak-anak lintah (lintah dara) tersebut sebelum boleh dipasarkan.

Harga bagi induk lintah adalah di sekitar RM80–RM100 sekilogram. Seekor induk lintah boleh menghasilkan sekitar 100 sehingga 300 ekor anak lintah, di mana anak-anak lintah yang telah matang (lintah dara) boleh dipasarkan sehingga RM1.70 ke RM2.00 seekor bergantung kepada harga semasa.

Terdapat cara lain untuk menternak lintah iaitu memelihara lintah dari benih atau anak lintah. Benih atau anak lintah boleh didapati dengan harga sekitar RM0.50 ke RM0.80 seekor, bergantung kepada harga semasa. Proses pemeliharaan serta jangkamasa pemasarannya tetap sama seperti pemeliharaan daripada induk lintah.

Penternakan lintah juga amat mudah dikendalikan dengan hanya memerlukan jagaan yang minimum sama ada di luar bangunan (kolam konkrit atau kolam tanah) atau dalam bangunan (tangki gelas serat, tangki akuarium atau tangki lain yang sesuai) yang didapati lebih mudah.

Lintah memerlukan makanan yang secukupnya untuk membiak dengan cepat. Makanannya adalah darah mamalia seperti darah daging lembu atau kambing. Lintah biasanya cepat membiak melalui sumber makanan ini. Selain daripada darah, bahan-bahan organisma dari sesetengah tumbuhan juga menjadi sumber pemakanan lintah. Belut dan ikan keli merupakan sumber pemakanan yang paling mudah disediakan untuk lintah membiak. Selain itu, terdapat juga makanan yang disediakan menggunakan bio-teknologi yang sesuai untuk pemakanan lintah.

Usahawan lintah

Melihat kepada prospek besar industri lintah, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Sulaiman Shah Ab. Rahman dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, mengambil langkah berani untuk menceburi industri tersebut walaupun ianya tidaklah sepopular kerjaya lain. Berbekalkan sedikit pengalaman dan pengetahuan, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80, 000 lalu menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management.

Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di Malaysia dan berpotensi untuk pergi lebih jauh. Kini, mereka mampu berbangga dengan memperoleh pendapatan bersih sekitar RM5, 000 hingga RM6, 000 sebulan. Syarikatnya juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluaran mereka ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.

Selain itu, mereka turut membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam kepada mereka yang berminat. Tambah Sulaiman lagi, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.