Perkara Haram Dalam Perniagaan

0
1552

Kita mesti akui bahawa cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Islam adalah melalui perniagaan. Ini memang dinyatakan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al Bazzar dan Ahmad:

Mata pencarian yang paling afdal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan dari hasil usaha tangan.

Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang menggalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan. Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi iaitu:

9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.

Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah rasul SAW. Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’. Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.

Sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih di dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah bersabda maksudnya:

Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta dengan para nabi, siddiqin dan para syuhada. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Tapi, ini bukan bermaksud kita boleh bebas menentukan tatacara perniagaan dengan sesuka hati. Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti perniagaan.

Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:

[auth]

1. Riba.

Riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang Muslim yang disebutkan secara jelas dalam Al-Quran dan Sunnah tentang pengharamannya. Riba bermaksud sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhum nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwa lah kamu kepada Allah dan tinggalkan lah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas daripada sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan lain-lain.

2. Memeras ugut dan mengambil harta dengan cara yang batil

Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah) seperti mencuri, merompak, menipu, memperdaya dan berjudi. Sekiranya seseorang berkeinginan sesuatu yang berharga milik orang lain, maka dapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas daripada sebarang unsur yang batil.

Pengharaman perbuatan seumpama memeras ugut dan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil ini, jelas disebutkan dalam surah al-Nisa ayat 29 mafhum nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.

3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.

Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai peniaga yang beriman tidak seharusnya alpa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan palsu. Itu termasuk juga perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.

عَنْأَبِيهُرَيْرَةَأَنَّرَسُولَاللَّهِ‏‏صَلَّىاللَّهُعَلَيْهِوَسَلَّمَمَرَّعَلَىصُبْرَةِطَعَامٍفَأَدْخَلَيَدَهُفِيهَافَنَالَتْأَصَابِعُهُبَلَلًافَقَالَمَاهَذَايَاصَاحِبَالطَّعَامِ؟قَالَأَصَابَتْهُالسَّمَاءُيَارَسُولَاللَّهِ. قَالَأَفَلَاجَعَلْتَهُفَوْقَالطَّعَامِكَيْيَرَاهُالنَّاسُمَنْغَشَّفَلَيْسَمِنِّي. أي: منغشفليسعلىدينيىالكامل. رواهمسلم

Maksudnya:

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbun makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agama ku (yang sempurna).

عَنْأَبِيقَتَادَةَالْأَنْصَارِيِّأَنَّهُسَمِعَرَسُولَاللَّهِصَلَّىاللَّهُعَلَيْهِوَسَلَّمَيَقُولُ‏‏إِيَّاكُمْوَكَثْرَةَالْحَلِفِفِيالْبَيْعِفَإِنَّهُيُنَفِّقُثُمَّيَمْحَقُ. أيْ: فأنكثرةالحلففىالبيعقديؤديألىرواجالسلعةإلاأنهبعدذلكإلىيُزِيلالْبَرَكَتها.

Maksudnya:

Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah mendengar rasulullah SAW bersabda, awas kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan barakahnya.

Berpandukan kepada dua hadis ini, peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran agama harus elakkan sebarang bentuk penipuan dan banyak bersumpah dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.

4. Rasuah.

Rasuah pula merupakan salah satu dosa besar dalam Islam yang boleh berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting ataupun membantu mendapat projek dan peluang perniagaan yang lebih luas.

Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan lain-lain sedangkan rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mengeratkan lagi ikatan silaturahim dan kasih sayang.

Rasuah kadangkala membawa keuntungan yang berlimpah, namun mesti diingat bahawa ia juga akan menghakis keberkatan dalam perniagaan, bahkan mereka akan mendapat laknat daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda:

عَنْعَبْدِاللَّهِبْنِعَمْرٍوقَالَقَالَرَسُولُاللَّهِصَلَّىاللَّهُعَلَيْهِوَسَلَّمَلَعْنَةُاللَّهِعَلَىالرَّاشِيوَالْمُرْتَشِي.

Maksudnya:

Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

5. Memonopoli barangan (ihtikar).

Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan seperti gula, beras, minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, peniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda;

عنمعمرأنالنبي(ص) قال: ” مناحتكرفهوخاطئ” . أى: فهوبعيدعنالحقوالعدل. رواهمسلم.

Maksudnya:

Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.

6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan.

Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para peniaga untuk bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.

Bagi menunjukkan hina dan tercela nya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menempelak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhum nya:

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak.

Islam turut melarang dan menegah sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan ketakwaan. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

عنأبيهريرة،عنالنبيصلىاللهعليهوسلمأنهقال: «مناشترىسرقة،وهويعلمأنهاسرقة،فقدشركفيعارهاوإثمها»

Maksudnya:

Diriwayatkan Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.

8. Haram menjual najis.

Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haram nya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ianya boleh mendatangkan mudarat dan kerosakan di muka bumi.

عنجَابِرَبْنَعَبْدِاللَّهِيَقُولُسَمِعْتُرَسُولَاللَّهِصَلَّىاللَّهُعَلَيْهِوَسَلَّمَيَقُولُعَامَالْفَتْحِإِنَّاللَّهَعَزَّوَجَلَّوَرَسُولَهُحَرَّمَبَيْعَالْخَنَازِيرِوَبَيْعَالْمَيْتَةِوَبَيْعَالْخَمْرِوَبَيْعَالْأَصْنَامِ

Maksudnya:

Dari Jabir bin Abdullah, katanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.

Kesemua larangan dan tegahan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan dan kesyumulan syariat Islam. Semua perkara yang haramkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia berpegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

 [/auth]