Potensi Perniagaan Perabot Jati

0
1725

perabot-jati

“Alah Membeli, Menang Memakai”

Ibarat pepatah Melayu lama, itu lah gambaran yang dapat diberikan kepada perabot yang diperbuat daripada kayu jati.  Perabot jati sememangnya menjadi pilihan ramai, tidak kira tua atau muda.  Perabot jati tidak hanya mendapat sambutan masyarakat Asia, tetapi juga masyarakat di negara Eropah juga cenderung untuk membeli perabot jati.  Walaupun harganya lebih mahal daripada perabot kayu lain, namun kayu jati nampak klasik dan mampu bertahan bertahun tahun lamanya.  Selain itu perabot yang diperbuat daripada kayu jati juga mempunyai kemasan yang halus dan cantik.

Jati atau juga dikenali sebagai ‘teak’ adalah salah satu jenis pohon kayu yang bermutu tinggi. Pokok jati mempunyai pohon yang besar dan berbatang lurus dan dapat tumbuh sehingga mencapai ketinggian 30-40 meter sekiranya mendapat cahaya matahari dan ruang yang mencukupi.  Pokok jati bersifat kuat dan keras.  Walaupun ia kuat, namun ia senang dipotong dan disukai oleh pengukir kayu.  Corak yang terdapat pada kayu nampak jelas, sehingga menghasilkan gambaran yang cukup cantik. Pokok jati menghasilkan bunga putih yang indah dan sangat wangi.  Dedaun nya akan gugur di saat musim kemarau.   Di Indonesia, petani yang hidup dalam hutan jati akan mengutip daun-daun yang gugur ini untuk dijadikan pembungkus makanan dan barangan.  Anehnya, nasi yang dibungkus menggunakan daun pokok jati mempunyai rasa yang sangat enak dan sedap!  Dahan dan ranting pokok jati ini pula dijadikan kayu api kerana sifatnya yang dapat menghasilkan bahan bakar pada suhu yang tinggi.  Pokok-pokok jati harus sekurang-kurangnya berusia 40 tahun sebelum ia boleh ditebang.  Semakin matang pokok jati itu, semakin mahal harganya dan semakin tinggi kualiti kayunya.  Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, kayu-kayu ini akan dibiarkan kering untuk tempoh satu hingga dua tahun sebelum dibuat perabot.

Di Indonesia sendiri, akibat permintaan yang tinggi terhadap kayu jati, kerajaan Indonesia telah bertindak mengawal penebangan hutan untuk dieksport demi memelihara hutan yang terdapat di Indonesia.

Sejarah Kayu Jati

Mengikut sejarahnya, kayu jati telah lama digunakan oleh orang Cina untuk membuat kapal.  Apabila kapal-kapal ini sudah tidak lagi digunakan, penduduk tempatan akan mengambil kayunya untuk dibuat perabot seperti katil, meja dan kerusi.  Kayu jati dikatakan mempunyai minyak semula jadi yang membuatkannya kalis air.  Ia juga tahan dengan pelbagai cuaca sama ada terik matahari mahupun hujan ribut.  Minyak semula jadi yang terdapat pada kayu jati melindunginya daripada reputan akibat kulat dan anai-anai.  Kayu jati juga tidak perlu di varnis, kerana minyak yang terdapat dalam sel-sel kayunya akan membuatkan kayu jati ini nampak licin dan berkilat.   Selain itu, kayu jati juga digunakan untuk membuat jambatan, kayu landasan kereta api dan dijadikan kayu di dek pelabuhan.

Kegunaan Kayu Jati

Perabot jati yang dibuat oleh tukang kayu yang berbakat mempunyai kualiti yang sangat tinggi.  Walaupun harganya agak mahal jika dibandingkan dengan kayu lain seperti cengal dan sebagainya, perabot jati mampu bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya.  Kayu jati mempunyai kelebihannya yang tersendiri.  Diklasifikasikan sebagai kayu kelas 1, kayu jati juga tergolong dalam golongan kayu mewah seperti cengal, balau, resak, merbau dan meranti.  Sering kali kita dapat lihat perabot jati menghiasi ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, dapur dan juga dijadikan pembahagi antara ruang.  Selain dijadikan perabot, kayu jati juga digunakan dalam struktur bangunan kayu, dijadikan tiang-tiang bangunan, rangka atap, pintu dan tingkap, serta turut dijadikan kepingan parket lantai.  Akibat ketahanannya, kayu jati boleh ditempatkan di mana sahaja tanpa perlu risau dengan dedahan cahaya matahari atau tempias hujan, justeru ia sememangnya menjadi pilihan untuk dijadikan perabot luar rumah.  Namun andai dibiarkan lama di bawah sinaran terik matahari, pemilik haruslah rajin untuk mengilatkan perabot itu semula untuk mengembalikan kilatan pada warnanya. 

[auth]

Memulakan Perniagaan Perabot Jati

Bukan mudah untuk memulakan perniagaan perabot jati.  Untuk memulakan perniagaan perabot jati, sebaik-baiknya timba lah pengalaman menjadi pengedar dahulu sebelum membuka kilang perabot.  Untuk mula menjadi pengedar, ada beberapa perkara perlu di ambil kira untuk memastikan pelaburan anda dalam perniagaan perabot jati ini berbaloi.  Pertama sekali, anda perlulah ada minat dalam bidang pertukangan perabot.  Carilah ilmu dan pengetahuan asas sebanyak mungkin tentang kayu jati dan perbezaannya jika dibandingkan dengan kayu-kayu yang lain.  Ini penting, agar anda nampak perbezaan di antara gred-gred kayu jati itu sendiri.

Sekiranya anda ingin menjadi pengedar kepada kilang perabot jati, pastikan syarikat yang anda akan bekerjasama itu mempunyai profil syarikat yang baik.  Lebih baik sekiranya syarikat itu sudah lama beroperasi dan mahir dalam bidang pembuatan perabot jati.  Lakukan carian di Internet untuk memastikan syarikat itu bebas daripada sebarang aduan pengedar mahupun pengguna.  Lihat portfolio hasil kerja syarikat ini untuk memastikan yang mereka benar-benar ada kepakaran tenaga kerja dalam menghasilkan produk perabot jati yang bermutu.

Jika anda mampu, cari peluang untuk pergi melawat sendiri syarikat itu serta kilangnya.  Dengan cara ini anda akan lebih berasa yakin setelah dapat melihat sendiri cara syarikat itu beroperasi.  Pastikan kilang itu mempunyai peralatan dan teknologi yang terkini untuk memproses kayu jati sebelum dijadikan perabot.  Pastikan juga pengilang itu mempunyai jumlah pekerja yang mencukupi.  Kekurangan tenaga pekerja akan menyebabkan kilang itu tadi tidak mampu untuk mengeluarkan perabot dalam jumlah yang banyak setiap hari.  Pengeluaran yang sedikit, akan mengurangkan keuntungan anda. Apa yang penting, anda perlu memastikan kayu-kayu yang diambil oleh pengilang, bukan daripada sumber penebangan secara haram. 

Harga dan kualiti perabot yang ditawarkan.  Umum tahu bahawa pokok jati ini dapat diklasifikasikan kepada beberapa gred, iaitu gred A, B dan C.  Kayu jati gred A lebih mahal dari gred B, kerana kayunya telah mencapai usia yang matang (ada yang sehingga 20 tahun).  Kayu jati daripada gred A juga tebal dan berat dan tidak mempunyai kesan retak ataupun pecah.   Beza harga antara gred A dan C pula adalah lebih kurang 25%.  Perabot jati daripada gred A ini kebiasaannya akan dieksport ke luar negara untuk pasaran antarabangsa.  Kayu jati gred B pula lebih mahal dari gred C.  Perabot jati gred B dan gred C adalah yang paling banyak dijual di kedai-kedai perabot di Malaysia.  Kayu jati daripada gred B dan C pula tidak sempurna dan sedikit ringan berbanding kayu jati gred A.  Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati.  Dengan menggunakan teknologi moden, kayu jati daripada gred C boleh dirawat menggunakan bahan kimia untuk menyerupai kayu jati gred A. Bahan kimia ini pula adalah amat berbahaya untuk kulit pelanggan anda.  Untuk mengelakkan diri anda daripada ditipu, cuba dapatkan sebut harga daripada beberapa syarikat pengilang sebagai perbandingan.

Syarikat pengilang ini seharusnya senang dan boleh sentiasa dihubungi.  Adalah penting untuk sentiasa berhubung daripada masa pesanan dibuat sehinggalah masa ketika pesanan diterima oleh anda.  Penting juga untuk memastikan bahawa mereka sanggup menerima semula perabot yang telah dipulangkan oleh pelanggan.  Pilihlah syarikat yang boleh dihubungi sentiasa melalui telefon atau e-mel.  Bina lah hubungan yang baik dengan syarikat yang dipilih.

Jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lepas, corak yang terdapat pada perabot jati juga sudah banyak berubah.  Dahulu, perabot jati datang dengan ukiran dan kerawang yang sarat.  Cita rasa pelanggan muda pula lebih terhadap rekaan perabot jati yang bercorak kontemporari, ringkas namun kelihatan rustik untuk menghasilkan ciri semula jadi.   Sebelum membuat pilihan perabot mana yang sesuai untuk diletakkan di kedai anda, fikir dahulu cita rasa pelanggan anda dengan mengambil kira faktor usia mereka.

  Mengapa Perniagaan Jati Menguntungkan?

Secara umumnya prospek industri perabot adalah cerah walaupun Malaysia terpaksa bersaing dengan negara jiran lain yang kaya dengan sumber dan mempunyai kos pengeluaran yang murah.  Negara-negara ini adalah seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan juga China.  Lebih daripada 90% pengeluaran perabot di Malaysia adalah untuk tujuan eksport ke luar negara.  Pada tahun 2010, Malaysia merupakan pengeksport perabot kesembilan terbesar di dunia dengan mengeksport lebih ke 160 negara.  Pada tahun 2011, industri eksport perabot Malaysia bernilai RM8 bilion dengan negara eksport utama adalah ke negara Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan United Kingdom.  Malaysia mengunjurkan pendapatan eksport daripada industri perabot akan meningkat kepada RM16 bilion menjelang 2020.  Jika diukur daripada aspek permintaan dalam negeri, perniagaan perabot jati mendapat permintaan yang menyeluruh daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.  Perabot jati bukan sahaja digunakan sebagai perabot dalam rumah, malahan kini penggunaannya lebih kepada di luar rumah untuk membuat pergola, gazebo dan sebagainya.

Perabot jati bersifat kuat, tidak mudah rosak dan boleh disimpan dalam jangka masa yang panjang.   Anda boleh meletakkan perabot jati ini di kedai anda tanpa perlu memikirkan soal susut nilai daripada segi harganya.  Perabot jati juga tahan kepada keadaan cuaca yang panas atau sejuk melampau. Ia juga tidak akan mereput mahupun diserang oleh serangga kerana ia mengandungi minyak semula jadi yang dapat menghalau serangga.  Ia tidak perlu untuk dibersihkan dengan kerap berbanding perabot kayu lain.  

Kesimpulan

Di sebalik fakta-fakta yang diberikan, umum mengetahui bahawa harga perabot jati adalah jauh lebih mahal berbanding perabot kayu yang lain. Jika pelanggan anda sedang mencari perabot kayu dengan harga yang murah, maka perabot jati tidak sepatutnya berada dalam senarai mereka.  Dan dek disebabkan perabot jati ini teguh dan kuat, ia tidak mudah patah atau rosak.  Malahan ia boleh diturunkan kepada beberapa generasi lantas akan mengurangkan permintaan yang berulang daripada pelanggan yang sama. 

Sememangnya kita bernasib baik kerana industri perabot jati di negara kita mempunyai potensi yang sangat besar dan mendapat galakan daripada kerajaan Malaysia sendiri.  Sekiranya anda berminat untuk berkecimpung dalam perniagaan perabot jati, maka anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor di atas sebelum memulakan perniagaan.  Tepuk dada, tanya selera.  Jika anda seorang yang sanggup menghadapi cabaran, apa salahnya?

[/auth]