Potensi Ternakan Ikan Ketutu

0
3205

Ikan ketutu atau Marbled Goby dikenali dengan pelbagai jenis nama seperti ikan ubi, ikan haruan bodoh, ikan hantu dan juga ikan belantuk. Ikan ini merupakan spesies ikan air tawar yang tinggal di kawasan berair tenang, kayu-kayu mati dan berpasir seperti tasik, empangan, lombong tinggal dan juga sungai. Ikan ini bersifat karnivor; memakan daging, ikan-ikan kecil, udang, siput, dan juga ketam kecil. Ikan ini senang untuk diternak kerana sifat semula jadinya yang pendiam di waktu siang namun aktif di waktu malam. Keistimewaan ikan ketutu adalah kadar ketahanannya untuk hidup di luar air, asalkan badannya masih lembab untuk jangka masa 72 jam.

Ikan ini mendapat permintaan yang tinggi khususnya pada Tahun Baru Cina untuk dijadikan sebagai hidangan utama kerana khasiatnya yang mampu melancarkan peredaran darah. Isinya lazat dan manis, serta mempunyai tekstur isi daging yang halus dan berwarna putih. Ikan ini mengambil masa setahun untuk mencapai berat yang dikehendaki oleh pasaran iaitu antara 800g-1200g seekor.

Potensi ternakan ikan ketutu

Ikan ketutu mendapat permintaan yang tinggi dari restoran-restoran mewah dan juga dari luar negara seperti China, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan juga Korea. Namun, permintaan itu tidak dapat dipenuhi berikutan kekurangan penternak yang ingin menternak spesies ikan ini. Setakat ini permintaan terhadap ikan ketutu mencecah enam tan metrik sebulan sedangkan kemampuan pengeluaran rendah daripada itu. Jika dilihat daripada potensinya, usaha menternak ikan ini mampu memberikan hasil yang lumayan sekiranya diusahakan dengan pengurusan kolam yang teratur dan terancang.

Harga bagi sekilogram ikan ketutu di pasaran tempatan kini mencecah RM90/kg, dan ianya mampu mencecah sehingga RM130/kg jika bekalan yang ada sangat terhad di pasaran. Rasanya yang enak serta digemari ramai menyebabkan permintaan terhadapnya sangat tinggi. Ikan ketutu merupakan spesies ikan air tawar yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran dan jika diusahakan dengan betul dan teratur, ianya mampu memberikan nilai ekonomi yang tinggi kepada pengusaha.

Ternakan ikan ketutu

Ikan ketutu diternak di dalam kolam sama ada menggunakan; kolam tanah, kolam fiber, ataupun kolam konkrit. Kolam tanah adalah kolam yang paling sesuai kerana hanya memerlukan korekan sahaja. Lebih besar faedahnya jika ia dibuat berhampiran dengan sungai. Kolam penternakan tidak sesuai dibuat berdekatan dengan kawasan pertanian kerana mempunyai risiko pencemaran (semburan racun dan baja).

Kolam fiber yang menggunakan tangki plastik berwarna juga merupakan kaedah terbaik untuk menternak ikan ketutu. Hal ini disebabkan ianya mudah dipantau dan senang untuk dikawal. Elakkan daripada menggunakan tangki yang bersegi kerana ikan lebih terdedah kepada risiko cedera di mulut dan menyebabkan ikan tidak mahu makan.

Kolam konkrit tidak sesuai digunakan untuk menternak ikan ini kerana sifat ikan ini yang aktif pada waktu malam namun mempunyai sistem penglihatan yang kabur. Pelanggaran dengan dinding konkrit akan berlaku jika penternak tidak melapik dinding dengan kanvas dan menyebabkan luka di kawasan mukanya yang akan menyebabkan kepada kematian. Penternakan ikan didalam kolam konkrit atau kanvas memerlukan sistem kitaran air yang efektif. Ikan ini memerlukan pencahayaan samar-samar. Oleh itu penyediaan kolam penternakan ikan berbumbung (netting) merupakan salah satu syarat asas. Perkara paling penting dalam penternakan ikan ini adalah kemampuan untuk menyediakan habitat yang hampir serupa dan terkawal.

Bekalan benih ikan ketutu boleh didapati dengan du acara iaitu; Pertama: Mendapatkan bekalan benih liar iaitu anak ketutu yang ditangkap dari sungai, tasik dan lombong. Kedua: Pengusaha boleh mendapatkan bekalan dari pusat pembenihan yang menjalankan pembenihan ketutu dengan kadar harga RM3.00/RM4.00/RM5.00 bergantung pada saiz ikan atau umur anak benih ikan ketutu.

Pemakanan ketutu terdiri daripada ikan-ikan kecil seperti guppy, puyu, sepat, seluang, udang kecil atau daging ikan yang dipotong kecil. Selain itu, makanan ikan tiruan (pellet) juga boleh diberikan kepada ikan ketutu. Pellet tersebut boleh dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi.

Masalah dalam ternakan ikan ketutu

Ikan ketutu tidak gemar makan pellet dan ia hanya makan makanan hidup seperti anak ikan dan udang. Namun, ianya boleh diatasi dengan membiarkan ikan tersebut berpuasa terlebih dahulu. Berikan pellet ketika ia dilihat sudah benar-benar lapar. Cubaan yang konsisten akan membuatkan ia biasa dengan pellet tersebut.

Saiz ikan ketutu yang dikehendaki oleh pasaran adalah sekitar 1kg dan ke atas. Jika beratnya tidak menyamai kehendak pasaran, ianya akan dijual dengan harga yang rendah.

Untuk menghasilkan saiz ikan ketutu yang dikehendaki oleh pasaran, ianya memerlukan jangka masa setahun dengan penjagaan yang intensif.

Pasaran ikan ketutu

Hasil ternakan boleh dipasarkan terus kepada pemborong atau Restoran/Hotel yang berdekatan. Sebarang masalah boleh dirujuk kepada Jabatan Perikanan, atau Lembaga Pertubuhan Peladang yang berdekatan. Kesukaran untuk menangkap dan kekurangan penternak yang menternak spesies ini menjadi faktor utama bagi harga ikan ketutu melambung tinggi di pasaran. Penternakan ikan ketutu diyakini dapat menjanjikan pendapatan yang cukup lumayan berdasarkan permintaannya yang sangat tinggi dari dalam dan luar negara.