Projek Tanaman Cendawan

0
5276

Cendawan boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu;

o Edible mushroom (cendawan yang boleh dimakan)
o Medical mushroom (cendawan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan)
o Poisonous mushroom (cendawan yang beracun, dan tidak boleh dimakan)
o Cendawan liar/hutan (cendawan yang tumbuh meliar di dalam hutan)

Cendawan yang biasa kita temui di pasaran terdiri daripada cendawan tiram, jeli hitam, cendawan kukur, cendawan butang, cendawan shitake dan banyak lagi. Namun, tahukah anda bahawa cendawan shitake yang sangat popular di merata tempat ini sangat banyak khasiatnya. Hasil penyelidikan yang dijalankan di Jepun mendapati bahawa lebih kurang 50 jenis enzim terdapat pada cendawan shitake, seperti enzim asparaginase yang digunakan untuk merawat penyakit leukimia, polio, barah, Hepatatis B dan C, AIDS dan kencing manis.

Dalam bidang pemprosesan makanan pula, cendawan ini boleh digunakan sebagai bahan makanan, asas ramuan makanan dan agen perasa cendawan. Rasa juga empat kali ganda lebih sedap jika dibandingkan dengan rasa cendawan butang. Cendawan ini juga tidak mengandungi gula, kanji, lemak dan kolesterol tetapi mempunyai sumber fiber yang tinggi untuk mengatasi masalah penghadaman dan menyenangkan proses perkumuhan.

Pasaran tanaman cendawan

Tanaman cendawan dilihat mempunyai potensi pasaran yang sangat baik kerana stok cendawan segar yang ada di pasaran kini masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan. Oleh itu, pengeluaran cendawan segar daripada pengusaha tempatan perlu dipertingkatkan lagi untuk mengurangkan kadar import negara. Peranan cendawan sebagai tanaman jangka pendek dilihat bukan sahaja dapat mengurangkan kadar import negara, tetapi juga dapat memberikan pendapatan yang lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

Selain, itu industri tanaman cendawan juga dilihat mempunyai prospek yang cerah kerana pengeluaran cendawan dalam negara hanya 16% sahaja manakala bagi memenuhi keperluan sebenar cendawan dalam negara sebanyak 84% lagi adalah diimport dari luar negara. Oleh itu, industri ini dilihat sebagai industri yang sangat berpotensi tinggi untuk diceburi khususnya oleh golongan belia kerana permintaan terhadap cendawan semakin meningkat di pasaran tempatan sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk serta penggunaan per kapita yang semakin meningkat (anggaran 2.4 kg/orang pada tahun 2020).
Pengeluaran cendawan yang berkualiti tinggi juga perlu diberi perhatian. Antara jenis-jenis cendawan yang sering diusahakan oleh pengusaha tempatan adalah Tiram Kelabu/Putih, Telinga Kera/Jeli Hitam, Shitake, dan Butang Putih/Perang.

Kenapa tanaman cendawan?

Keuntungan diperoleh dalam masa yang singkat. Hasil boleh dituai dalam jangka masa yang pendek.

Tidak memerlukan kawasan yang luas.

Penggunaan bahan-bahan buangan seperti habuk kayu tidak memerlukan kos yang tinggi.

Hasil tuaian boleh dikomersilkan dalam pelbagai jenis produk; cendawan segar, cendawan dalam tin, cendawan sejuk beku, sos cendawan, sup cendawan segera.

Mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

 

Proses tanaman cendawan

1.Teknik untuk menanam cendawan

Sediakan beg media cendawan, iaitu beg plastik tahan panas, leher dan penutup beg media, kapas/span penyumbat, dan penyodok. Gaulkan habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1 mengikut berat. Siram air sehingga habuk kayu tidak berderai apabila dikepal. Masukkan campuran habuk kayu getah ke dalam beg plastik dan padatkan sehingga tingginya 18 cm dan beratnya 1 kg. Pasangkan leher dan tutup (sumbat sedikit kapas di bahagian penutup).

2.Kukus beg media cendawan

Beg media cendawan perlu dikukus selama 7 jam.

3.Pemilihan benih cendawan

Pemilihan benih cendawan perlu dilakukan dengan teliti agar cendawan yang dihasilkan berkualiti tinggi. Miselium benih yang baik adalah berwarna putih seperti kapas. Miselium yang dipilih perlulah penuh dan padat. Anda tidak digalakkan untuk memilih benih yang berwarna perang dan yang mengeluarkan cairan seperti minyak kerana ianya telah tua dan tidak aktif. Selain itu, benih yang telah dicemari kulat akan berwarna hijau, kuning dan hitam.

4.Suntikan benih cendawan

Peralatan yang diperlukan untuk penyuntikan benih ialah benih, pengorek benih, pelita spirit/burner dan pen marker. Pilih benih cendawan yang baik iaitu yang berwarna putih bersih seperti kapas dan pertumbuhannya penuh sehingga ke bawah botol. Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil yang telah dipanaskan (layur) dengan api. Buka mulut beg media dan masukkan benih cendawan anggaran sebanyak 1 sudu besar. Penutup mulut beg media dilayur dan dipasangkan kembali pada beg media. Kemudian tarikh suntik benih dan jenis cendawan dicatatkan pada beg media cendawan.

5.Pemeraman beg media cendawan

Susun beg media cendawan di atas rak dalam ruang pemeraman cendawan secara rebah atau tegak dengan mulut beg dibuka. Cendawan pertama akan keluar 3-5 hari selepas penutup beg dibuka.

6.Kawalan serangan perosak

Pastikan rumah cendawan sentiasa bersih dan cukup pengudaraannya. Bersihkan persekitaran rumah cendawan daripada rumpai dan sampah sarap. Serangan bakteria boleh dikenal pasti apabila batang dan kelopak cendawan berwarna perang dan berlendir. Rumah cendawan juga memerlukan pengudaraan yang baik, cahaya yang malap dan serata. Pancaran cahaya matahari yang kuat akan membantutkan pertumbuhan cendawan.

7.Pungutan hasil

Peringkat pertumbuhan cendawan bermula pada hari kedua cendawan mula keluar seperti anak mancis dan pada hari ketiga cendawan mula membesar dan kembang. Pada hari keempat, cendawan membesar ke peringkat optima. Oleh itu, pungutan hasil dilakukan pada hari ketiga atau keempat (sebelum tepi cendawan berombak dan pecah) dengan cara mencabut seluruh rumpun cendawan.