Pengaruh Smartphone Terhadap Produktiviti Pelajar

0
1303

Gajet pintar seperti smartphone atau tablet sememangnya sangat membantu kita dalam menjalankan kehidupan seharian tanpa memerlukan banyak peranti berasingan. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan panduan arah menggunakan navigasi GPS, mendapatkan maklumat segera melalui internet, mengambil gambar menarik yang boleh dikongsikan ke laman sosial dengan segera dan banyak perkara lagi boleh dilakukan dengan keupayaan smartphone yang canggih. Tahukah anda antara sedar atau tidak, smartphone atau gajet pintar ini telah mempengaruhi produktiviti kehidupan seharian terutamanya remeja seawal belasan tahun sehingga mereka yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi?

Rasanya pasti ramai di antara pembaca di luar sana yang mungkin tergolong di dalam kategori yang cenderung untuk meletakkan smartphone mereka di atas katil apabila mereka tidur.  Berdasarkan kajian yang dijalankan, lebih kurang 90% individu yang berumur di antara 18 hingga 29 tahun mengatakan bahawa mereka akan tidur bersama-sama dengan smartphone yang diletakkan di sisi mereka sewaktu mereka tidur. Berdasarkan kajian yang dilakukan, 95% daripada individu mengakui bahawa mereka menggunakan gajet seperti smartphone, tablet, komputer dan TV sebelum mereka tidur.  Daripada jumlah tersebut, terdapat tiga kategori utama aktiviti yang sering dilakukan iaitu melayari internet atau laman sosial, menghantar teks mesej dan juga menonton TV.  Manakala hanya 5% sahaja individu yang langsung tidak menyentuh smartphone atau tablet mereka sebelum tidur.

Tidak dinafikan gajet ini memberi faedah serta memudahkan urusan seharian, tetapi jika terlampau asyik dengan gajet pintar ini, ia sebenarnya akan ‘menghantui’ kita. Penggunaan gajet bukan sahaja menyebabkan kita sering tersedar daripada tidur, malah ia juga akan membuatkan kita lebih sukar untuk tidur.  Ini kerana pendedahan cahaya daripada paparan skrin elektronik selama 2 jam akan menyekat lebih kurang 22% melatonin, iaitu sejenis bahan kimia semulajadi di dalam tubuh yang memudahkan kita untuk tidur.  Selain itu, penggunaan gajet pada lewat malam juga bukan sahaja akan menggangu tidur kita, bahkan ia juga boleh mengakibatkan tanda-tanda stres dan tekanan. Ia juga boleh meyebabkan masalah kurang tidur dan sering merasa letih serta mengantuk sewaktu mengikuti pembelajaran di dalam kelas. Disebabkan smartphone juga, remaja masa kini lebih gemar bersendiri dan meluangkan masa melayari laman sosial berbanding dengan bergaul sesama rakan seusia di alam nyata. Tambahan pula, smartphone juga dilihat menjadi faktor utama mengapa mereka ini kurang berinteraksi di antara satu sama lain malah lebih memilih menggunakan aplikasi Whatsapp dan laman sosial untuk berhubung dan berkenalan. Malah gajet ini juga telah menghalang mereka dari membina kemahiran berkomunikasi sesama mereka. Oleh kerana itu, mereka juga dilihat menjadi lebih pasif dan anti-sosial.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa gajet pintar ini kini menjadi salah satu punca berlakunya kemalangan. Berdasarkan kepada statistik kemalangan jalan raya, 1 daripada 5 punca kemalangan yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh faktor mengantuk.  Ini secara tidak langsung boleh juga dikaitkan dengan kitaran tidur yang terganggu disebabkan oleh pengguanaan smartphone yang tidak terkawal, terutamanya pada waktu tidur. Selain itu, penggunaan gajet pintar ini semasa memandu kenderaan atau menunggang motorsikal menyebabkan pemandu cuai dan hilang tumpuan lalu terjadinya kemalangan. Pernah juga terjadi kemalangan dimana seorang pelajar sekolah berjalan kaki hendak pulang ke rumah sedang asyik melihat paparan pada gajet pintarnya dan melintas jalan tanpa menghiraukan keadaan lalu lintas pada ketika itu. Lebih membimbangkan lagi apabila mereka ini keluar berjumpa dengan kenalan dari laman sosial. Bukan kesemuanya mendatangkan keburukan tetapi ada juga beberapa kes dimana remaja hilang selepas bertemu dengan kenalan dari laman sosial. Melalui gajet pintar ini juga boleh tersebarnya bahan pornografi yang boleh merosakkan pemikiran remaja malah menyumbang kepada berlakunya jenayah rogol dan seks bebas.

Khususnya kepada remaja yang masih belajar, tumpuan semasa pembelajaran tidak dapat diberikan sepenuhnya kerana gangguan dari gajet ini. Akibat daripada pengguanaan smartphone yang tidak terkawal juga, ramai di antara individu di luar sana yang mengabaikan waktu tidur yang sempurna.  Mereka lebih mengutamakan keseronokan ketika menggunakan smartphone berbanding waktu tidur yang mencukupi iaitu antara 7 – 9 jam untuk golongan remaja.  Waktu tidur yang tidak mencukupi telah memberi kesan terhadap produktiviti di sekolah atau kolej, apabila 3 daripada 10 individu tertidur pada waktu pembelajaran. Selain itu, kekurangan waktu tidur yang secukupnya atau kurang 6 jam sehari turut memberi impak kepada tahap kesihatan kita.  Apa yang lebih menakutkan, individu terbabit akan berhadapan dengan risiko terkena serangan jantung sebanyak 50% berbanding individu yang memiliki tidur yang mencukupi.

Kajian di atas menunjukkan bahawa telefon pintar memberikan impak yang besar kepada remaja yang menggunakannya dari segi produktiviti kehidupan seharian. Dalam kalangan pelajar, penggunaan telefon pintar yang mempunyai capaian internet dapat membantu proses pengajian mereka khususnya ketika mencari bahan rujukan. Penggunaan telefon pintar wajar di pantau oleh ibu bapa atau penjaga supaya pelajar mendapat lebih banyak manfaat untuk kejayaan dalam akademik. Pelajar juga patut sentiasa diingatkan supaya menggunakan sambungan tanpa wayar di kampus sebagai instrumen menjulang kejayaan akademik bukannya mensia-siakannya.