Belajar Teknik Komunikasi Ini Supaya Anda Kelihatan Hebat

0
6644

sharing idea

Jika mengikut definisi Wikipedia, komunikasi bermaksud:

Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai “satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea, dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain”. Ia merupakan proses interaksi yang bererti antara hidupan dan merangkumi kedua-dua:

  • Perbuatan menghantar matklumat; dan
  • Proses untuk bertukar-tukar maksud;

 

supaya dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi boleh mengambil bentuk, baik secara lisan mahupun tidak, misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata, dan penulisan.

Komunikasi ialah satu proses memberi dan menerima pendapat serta informasi. Ia memerlukan kita berfikir dan juga kesungguhan kita untuk berinteraksi secara berkesan.

Komunikasi sangat penting dalam menyampaikan mesej yang berguna untuk ditafsir oleh otak manusia dan akan bertindak balas dari mesej yang diterima. Contohnya ialah lampu trafik, adalah salah satu medium komunikasi memberitahu kepada pengguna jalan raya. agar bertindak balas secara refleks. Kalau lampu hijau tandanya jalan, kuning untuk perlahankan kenderaan dan merah untuk berhenti.

Komunikasi yang baik dan lancar amat diperlukan apatah lagi di dalam bidang perniagaan. Dalam apa jua bentuk perniagaan atau pekerjaan, komunikasi amat diperlukan. Komunikasi di antara pengusaha dan pelanggan, sesama rakan, tetamu atau sesiapa saja tidak dapat dielakkan.

Komunikasi tidak bermakna kita harus pandai bercakap. Dalam blogging juga kita berkomunikasi. Bayangkan jika anda hendak berkomunikasi dalam dunia offline, sudah pasti anda hanya boleh bercakap dengan seorang sahaja dalam satu masa. Tetapi tidak pada blog, di mana jumlah pembaca yang akan membaca anda menjadi subjektif. Kadang-kala 100, 1, 000 mahupun 1, 0000.

Namun begitu, bagaimana untuk melatih diri kita semua supaya dapat berkomunikasi dengan lebih baik? Latihan yang berterusan adalah asas bagi anda yang mahu meningkatkan kemahiran komunikasi. Ia tidak akan berhasil jika anda sekadar membaca buku, melihat teori dan juga mendengar nasihat orang lain melainkan anda sendiri melakukannya.

Latihan komunikasi boleh dibahagikan seperti berikut:

  • Sentiasa berborak dengan rakan-rakan anda

  • Pilih satu topik utama dan cuba luangkan masa untuk bercakap mengenainya

  • Lakukan kajian secara terperinci terhadap topik yang anda ingin bualkan

  • Jangan takut untuk lakukan kesilapan

  • Bagi menghilangkan gagap atau ‘blur’, sentiasa bercakap dengan rakan rapat atau keluarga bagi membiasakan diri

Berkomunikasi adalah perkara yang kita semua lakukan dalam seharian. Tajuk komunikasi memberi makna yang sungguh luas mengikut skop di mana ia diperkatakan. Kita semua tidak lari untuk berkomunikasi di rumah / sekolah / pejabat / pasar / tempat awam dan dalam segala aktiviti yang dilakukan seharian. Teknologi internet memberikan peluang kepada orang ramai untuk dapat berkomunikasi dengan lebih luas tanpa mengira sempadan.

Komunikasi sungguh penting apabila anda menggerakkan sesuatu organisasi sebagai contoh jika anda sendiri adalah peneraju dalam sesebuah syarikat. Bukan sahaja bahasa komunikasi adalah penting, Malah banyak lagi perkara yang berkaitan komunikasi perlu diambil berat dalam menajamkan kemahiran ini. Perkara yang hendak disampaikan, tujuan penyampaian perkara ini, situasi semasa penyampaian, cara yang hendak disampaikan, baik buruk yang perlu dipertimbangkan untuk menyampai dan keikhlasan untuk menyampaikan bagi kebaikan semua.

Kita perlu menjadikan komunikasi sebagai salah satu alat yang menyalurkan maklumat penting dan terperinci kepada semua lapisan dalam struktur syarikat anda. Ia sangat penting sebagai penggerak kepada motivasi pekerja untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Mengelakkan konflik disebabkan salah faham akibat komunikasi perlu ditangani dengan sentiasa melakukan komunikasi yang baik dengan rakan niaga / tenaga sokongan syarikat. Kedua belah pihak perlu mengambil sikap tolak ansur bagi menyelesaikan sesuatu masalah semasa melakukan komunikasi.

Tidak dinafikan kejayaan sesebuah perniagaan adalah datang daripada kemahiran peneraju yang berjaya menyampaikan komunikasi dengan jaya kepada pelanggan / rakan niaga dan pekerja bawahannya sendiri. Dia berjaya menarik aura diri dengan cara berkomunikasi yang mampu menawan dan menyenangkan hati si pendengar untuk mematuhi atau “membeli” idea buah fikiran anda.

Kemahiran ini perlu ada bagi anda sebagai usahawan. Dan anda tidak perlu risau untuk memikirkan bahawa ini adalah terlalu besar kepada anda. Mulakan latihan berkomunikasi dengan baik kepada rakan sekeliling anda. Perbaiki sedikit demi sedikit kelemahan yang ada. Ingat kemahiran bukan dilahirkan tetapi ia diasuh sedikit demi sedikit sehingga mencapai puncak yang cemerlang.

Lihat sahaja mereka yang berjaya dalam perniagaan, dalam negara ataupun luar negara, pastinya mereka tergolong daripada mereka yang hebat berkomunikasi. Donald Trump, Oprah Winfrey, Bill Gates, Tony Fernandez, Ananda Krishnan dan ramai lagi adalah mereka yang hebat berkomunikasi! Dan mereka menggunakan tiga strategi komunikasi efektif ini :

Rahsia #1: Keghairahan

Keghairahan, minat yang mendalam dan cinta pada sesuatu topik itu akan menonjol apabila kita berbicara. Serlahkan keghairahan kita dalam percakapan kita. Ini sering kali menjadi mudah apabila kita bercakap mengenai sesuatu yang kita cinta. Oleh sebab itu juga, dalam perniagaan, pastikan perniagaan yang kita dalami adalah sesuatu yang menarik minat kita. Apabila kita berbicara dengan penuh ghairah dan bersungguh-sungguh, pastinya ia akan berjaya menarik hati mereka yang mendengar berbanding dengan sekiranya kita hanya bercakap ala kadar dan tidak menunjukkan riak wajah yang ceria dan mempesonakan.

Rahsia #2: Beri Inspirasi

Beri inspirasi kepada audiens anda. Inspirasi akan menyentuh emosi. Emosi adalah apa yang akan menghubungkan antara anda dan pendengar pada tahap yang lebih mendalam. Percakapan seringkali akan menyentuh logik manusia. Tetapi, inspirasi akan menyentuh emosi manusia.

Kebanyakan daripada kelakuan manusia adalah berdasarkan emosi. Oleh itu, dengan menyentuh emosi melalui inspirasi, anda akan berjaya mendapat respons yang positif daripada audiens.

Sebagai contoh, sekiranya menyebut “Jimmy berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan”, ia hanya menyentuh logik. Tetapi, sekiranya disertakan sedikit inspirasi seperti “Jimmy berjaya mendapat keputusan cemerlang walaupun dirinya seorang OKU yang tidak dapat melihat sejak berumur 10 tahun akibat kemalangan”, sudah tentunya memberi impak yang lebih tinggi oleh kerana disertakan sumber inspirasi.

Dalam berkomunikasi, cuba selitkan elemen-elemen inspirasi untuk menyentuh emosi pendengar anda.


Rahsia #3: Jelas & pendek

Bercakap dengan jelas. Gunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami. Fahami bahawa apabila kita berkomunikasi, kita sering berhadapan dengan mereka yang pelbagai latar belakang. Tidak semua akan fahami apa yang kita ingin sampaikan, oleh itu, gunakan perkataan yang mudah untuk di fahami. Adakalanya kita perlu jelaskan semula supaya pendengar benar-benar faham apa yang kita hendak sampaikan.

Ketika memberi ceramah perniagaan Internet, terdapat berbagai-bagai bahasa Internet yang asing perlu digunakan. Seringkali saya tidak menggunakan bahasa-bahasa teknikal oleh kerana antara audiens mungkin ada yang tidak faham. Oleh itu, saya perlu permudahkan apa yang ingin disampaikan supaya ianya jelas.

Sebagai contoh, “Untuk menjalankan perniagaan Internet anda perlu membayar webhosting setiap tahun”. Digantikan dengan “Untuk menjalankan perniagaan Internet, anda perlu membayar sewa seperti sewa kedai di luar sana. Sewa kedai di Internet di bayar setahun sekali dan dikenali sebagai web hosting”. Mudah kan?

Dalam berkomunikasi juga, ringkaskan apa yang hendak dikatakan. Padatkan nya. Jangan berikan sehingga 10 perkara apabila berkomunikasi. Berikan 3 sahaja mencukupi. Asalkan apa yang disampaikan dapat diterima pendengar. Apa gunanya bercakap sehingga 1 jam sekiranya apa yang kita boleh sampaikan dapat difahami dalam masa 20 minit?

Contoh terbaik ialah Steve Jobs. Beliau bukan sahaja pakar dalam bidang perniagaan, tetapi juga pakar dalam bidang komunikasi. Setiap kali pelancaran produk Apple, Steve Jobs akan turun padang dan memberi persembahan/ceramah ringkas mengenai produk terbarunya.

Steve Jobs sering mendapat pujian dari segi komunikasi nya yang amat mudah dan boleh mencapai pelbagai usia dan latar belakang. Dalam perniagaan, komunikasi adalah amat penting, hinggakan kejayaan sesuatu perniagaan bergantung kepada komunikasi yang efektif.

Tapi bagaimana pula dengan komunikasi bukan lisan?

Di Malaysia, bersalam merupakan komunikasi bukan lisan yang agak biasa dilihat. Namun berlainan pula di Jepun, menundukkan kepala merupakan tanda perkenalan dan hormat. Sesetengah negara lain seperti Perancis, ciuman menjadi lumrah manakala sesetengah negara contohnya di negara Timur Tengah, bersalam di antara mereka yang berlainan jantina merupakan satu kesalahan. Walau bagaimanapun, bersalam atau berjabat tangan merupakan salah satu cara perkenalan yang diterima pakai, oleh sebahagian besar negara di dunia terutamanya dalam arena perniagaan.

Komunikasi ini harus dilakukan dalam beberapa keadaan tertentu seperti:

  • Ketika bertemu seseorang dan ketika anda mengucapkan selamat tinggal.

  • Ketika bertemu orang untuk pertama kalinya.

  • Ketika seseorang memasuki rumah atau datang ke pejabat anda.

  • Ketika bertemu dengan tuan rumah dan ketika diperkenalkan kepada tetamu yang lain.

  • Ketika anda bertemu seseorang yang anda sudah kenali sama ada di rumah atau di luar rumah.

  • Ketika mengakhiri sesuatu acara atau meninggalkan acara sosial.

Bersalam merupakan komunikasi ‘non-verbal’ yang banyak menceritakan sesuatu tentang seseorang seperti:

Adakah seseorang itu bersikap terbuka, yakin, ramah, tidak boleh dipercayai dan sebagainya.

Bagaimana untuk mengetahuinya?

#1 – Genggaman Terlalu Kuat

Mudah sahaja, sekiranya seseorang bersalaman dengan anda dengan genggaman yang terlalu kuat, ia menyatakan seseorang itu suka mendominasi atau menguasai, agak ego dan kurang dipercayai.

Dia sentiasa ingin menang dalam banyak hal. Berhati-hati jika anda memiliki rakan niaga sebegini. Anda perlu tegas untuk menyuarakan pandangan anda terhadap sesuatu keputusan supaya anda tidak dikuasai olehnya.

#2 – Genggaman yang Lemah

Manakala, genggaman tangan yang lemah pula menyatakan ketidakyakinan diri, tidak berminat, sambil lewa dan tidak mesra. Anda harus belajar untuk berjabat tangan dengan kemas dan kukuh.

Kerana genggaman tangan yang lemah boleh menjejaskan imej keyakinan diri yang anda ingin tonjolkan di mata klien anda.

#3 – Genggaman Ganjil

Berhati-hati juga dengan genggaman tangan yang ‘ganjil’. Beliau mungkin mempunyai agenda tersendiri.

#4 – Genggaman Kukuh

Manakala genggaman tangan yang kukuh, tidak terlalu kuat dan tidak terlalu lemah disertai dengan raut wajah yang menunjukkan minat, berbicara dengan memandang muka anda mencerminkan seorang yang mempunyai keyakinan diri, berani dan menghormati orang lain. Inilah genggaman yang paling bagus dan mereka yang bersalam dengan cara ini mempunyai personaliti yang mengagumkan.