Bisnes Tidak Kurang Lumayan, Cili Fertigasi

0
1430

Fertigasi berasal daripada dua perkataan Inggeris iaitu ‘fertilization’ dan ‘irrigation’. Sistem ini merupakan salah satu daripada cabang hidroponik yang sangat sesuai bagi tanaman sayuran berbuah dan berdaun seperti tomato, timun jepun, cili merah, cili sayur, terung, strawberi dan juga pokok hiasan. Sistem ini memberikan air dan baja secara serentak kepada tanaman. Media yang biasa digunakan dalam teknik fertigasi adalah sabut kelapa atau sekam bakar, tanpa penggunaan tanah. Pokok mendapat nutrient lengkap daripada air baja yang diberikan secara tetap dan berkala. Sistem ini bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit ‘layu bakteria’ yang berpunca daripada tanah.

Kelebihan sistem tanaman fertigasi

Pemberian baja kepada tanaman adalah berdarkan sukatan dan masa yang telah ditetapkan tanpa pembaziran. Baja akan terus diberi kepada zon akar supaya mudah diserap oleh pokok.

Hasil pengeluaran adalah lebih berganda daripada hasil pengeluaran menggunakan cara konvensional.

Mutu hasil pengeluaran adalah lebih bersih dan berkualiti.

Penggunaan racun yang sedikit.

Masalah merumpai yang sangat rendah.

Modal pusingan adalah rendah.

Kelemahan sistem tanaman fertigasi

o Modal yang tinggi diperlukan untuk memulakan projek fertigasi.
o Sistem ini memerlukan individu yang berkemahiran untuk melaksanakannya.
o Kerosakan ke atas sistem ini akan membawa kepada kerugian.

Jenis-jenis cili

Cili adalah sejenis sayuran berbuah dan tanaman sayur tanah rendah. Varieti cili yang baik perlulah mempunyai kandungan pepejal yang tinggi dan tahan terhadap serangan penyakit dan juga serangga.

MC11
Varieti ini akan mengeluarkan hasilnya 10 minggu selepas ditanam dan berterusan sehingga musim berakhir.  Sifat pembuahan yang berterusan menyebabkan cili akan dipetik setiap dua hari. Varieti ini sesuai ditanam di peelbagai persekitaran dan berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi.

MC12
Varieti jenis ini sangat produktif, mempunyai dua puncak pengeluaran dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga 4 bulan dengan sistem pengairan yang cekap. Sifatnya yang cepat matang (7 minggu selepas ditanam) membolehkan pemetikan hasil dilakukan selang 5-6 hari. Pokoknya yang rendah dapat mengatasi masalah pokok rebah dan pancang-pancang juga tidak diperlukan. Buahnya yang panjang, padat dan menarik sesuai untuk kegunaan segar atau pemprosesan.

MC4
MC4 dibiakkan oleh MARDI. Saiznya sederhana panjang dan mempunyai rasa yang kurang pedas. Namun, jangkamasa pengeluarannya adalah pendek. Pungutan hasil boleh dilakukan 8-18 minggu selepas penanaman. Cili jenis ini sesuai untuk ditanam dalam skala yang besar.

MC5
MC5 turut dibiakkan oleh MARDI. Saiznya antara 10-15cm, mempunyai rasa yang sangat pedas dan sentiasa berbunga. Jangkamasa pungutan adalah panjang iaitu 5 bulan. Pungutan hasil boleh dilakukan selama 12-32 selepas penanaman.

Kulai
Kulai mempunyai saiz buah yang tirus dan tebal. Tinggi pokok adalah di sekitar 60-180cm dan mempunyai rasa yang sangat pedas.

Tanaman cili secara fertigasi

1.Pasaran tanaman

Sebelum anda bertindak untuk memulakan tanaman ini, fikirkan terlebih dahulu tentang pasaran tanaman anda. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana ianya akan mempengaruhi kejayaan tanaman anda di masa yang akan datang. Pastikan yang anda mempunyai pasaran untuk memasarkan hasil tanaman anda. Sekiranya anda perlu mengikat kontrak dengan pembeli, lakukannya! Ianya akan menjadi pendorong bagi anda untuk memastikan yang tanaman anda akan membuahkan hasil. Anda juga perlu mendapatkan semaksimum mungkin pasaran dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber pasaran sahaja kerana apa-apa boleh terjadi di masa hadapan.

Tanaman cili mempunyai pasaran yang amat luas kerana harganya yang tinggi dan juga permintaan yang berterusan daripada pengguna. Harga pasaran bagi cili merah kulai adalah di antara RM6-RM10/kg.

2.Tapak tanaman fertigasi

Pastikan anda mempunyai kawasan yang mampu untuk memuatkan jumlah bilangan anak pokok yang anda ingin usahakan. Untuk tanaman cili, jarak 2kaki x

3 kaki adalah bersesuaian. Satu ekar tanah dapat memuatkan sehingga 5000 pohon tanaman fertigasi.

Pastikan juga yang tapak tersebut tidak akan ditenggelami air sekiranya berlaku banjir.

Pastikan yang tapak tersebut mempunyai sistem pengairan yang senang untuk diperoleh.

3.Peralatan yang diperlukan

Perlatan atau komponen yang diperlukan dalam sistem fertigasi adalah seperti tangki air, tong stok nutrient, pam, paip poly atau pvc, dripper, mini tubing, tubing, timer dan peralatan kawalan air dan baja. Dalam sistem fertigasi, air baja akan diberi mengikut masa yang telah ditetapkan bergantung kepada cuaca dan juga kawasan tanaman.

Beberapa peralatan lain juga digunakan bagi tujuan mengawal serangga perosak dan merumput dengan membina Rumah Lindungan Hujan dan juga jaring kalis serangga. Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga buruh. Selain itu, sistem fertigasi tidak menggunakan tanah dan tidak memerlukan penggunaan kawasan tanah yang luas.

4.Pemilihan biji benih

Baka yang berkualiti akan memberikan hasil yang berkualiti kepada pengusaha. Bagi tanaman cili, tanaman cili kulai adalah sangat sesuai kerana cili ini amat berpotensi dan mempunyai pasaran yang luas. Pemilihan baka seperti jenis Hybrid F1 568 sangat popular di kalangan pengusaha kerana buahnya agak besar dan pokok sederhana tinggi.

5.Penyediaan anak benih

Biji benih perlu dirawat sebelum disemai ke dalam dulang semaian. Anak benih yang berumur 25-30 hari boleh dipindahkan ke polibeg.

6.Pembajaan

Baja yang digunakan dalam tanaman fertigasi mestilah dilarutkan di dalam air. Selain itu, kandungan baja perlulah sesuai untuk pertumbuhan pokok daripada keadaan pokok yang masih kecil, berbunga dan berbuah.

7.Penjagaan pokok

Pokok cili perlu dipacakkan kayu sokongan untuk mengelakkan pokok daripada tumbang jika angina kuat. Kayu sokongan juga diperlukan untuk mengikat dahan daripada melentur dan patah jika buah lebat pada sesuatu dahan.

8.Meracun

Racun yang digunakan adalah racun serangga, ulat dan racun kulat memandangkan teknik tanaman ini bebas daripada penyakit bawaan tanah, maka pokok cili hanya akan mendapat penyakit daripada serangga, ulat dan kulat.

9.Pungutan hasil

Terdapat 3 keadaan di mana buah cili boleh dipungut;

1) Semasa buah masih hijau

2) Semasa buah sedikit kemerahan

3) Semasa buah sudah merah.

Buah yang berwarna sedikit kemerahan akan bertukar merah selepas beberapa hari dipetik. Buah yang sedikit kemerahan ini lebih disukai oleh pemborong kerana tahan lama. Buah hijau dan merah boleh dijual terus kepada kedai-kedai atau restoran.