Cara Sempoi Jimat Duit Setiap Bulan

0
823

Kini harga barangan semakin meningkat dan kenaikannya sungguh ketara. Sebagai pengguna , kita perlu bijak berbelanja supaya dapat menguruskan kewangan dengan baik. Sekiranya tidak bijak berbelanja, individu tersebut mungkin mengalami masalah kewangan. Ada pelbagai cara untuk menjadi pengguna yang bijak.

Kita mestilah menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum pergi ke kedai atau pasar raya. Kita juga perlu mengikut senarai tersebut semasa memilih barangan yang hendak dibeli. Dengan adanya senarai itu, kita tidak akan membeli barangan dengan sesuka hati. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan diri kita daripada membeli barangan yang tidak diperlukan, malah dapat menjimatkan masa. Oleh itu, penyediaan senarai barangan yang hendak dibeli amat penting. Mudah, kan?

Di samping itu, kita haruslah membuat perbandingan harga sesuatu barangan sebelum membelinya. Kadang kala sesebuah kedai itu akan menjual sesuatu barangan dengan harga yang lebih mahal banding kedai lain. Penjual yang tidak jujur selalunya akan menaikkan harga barangan supaya dapat mengaut keuntungan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kita juga harus membandingkan kualiti barangan tersebut pasa masa yang sama. Janganlah membeli barangan yang rendah kualitinya semata-mata kerana harganya yang murah. Kita hendaklah bijak membuat perbandingan yang bukan sahaja dari segi harga, tetapi dari segi kualiti.

Baca label dan pastikan tarikh luput. Anda harus membaca label dan memastikan tarikh luput barangan sebelum membelinya. Ini untuk memastikan anda tidak membeli barangan yang tidak harus digunakan lagi. Barangan seperti susu dan roti mempunyai jangka hayat simpanan yang pendek, jadi pastikan anda membaca label pemakanan untuk mengelakkan pembaziran. Tidak dilupakan juga, pengguna dinasihati supaya memeriksa keadaan barang sebelum membelinya, lihat keadaan fizikalnya dalam keadaan baik atau tidak, periksa kuantitinya supaya cukup seperti maklumat dalam label. Pengguna juga harus memastikan bahawa barangan yang hendak dibeli mempunyai logo halal yang sah dari JAKIM dan memeriksa cop SIRIM jika anda hendak membeli barangan elektrik bagi memastikan barangan selamat digunakan

Selain itu, untuk memaksimakan lagi tahap penjimatan, pengguna juga boleh melihat katalog yang disediakan di pasar raya. Dengan katalog tersebut, pengguna boleh membeli barangan yang mempunyai diskaun. Penggunaan kupon juga dilihat membantu menjimatkan kos pembelian. Kupon selalunya didapati di surat khabar, risalah atau dari pihak pasar raya. Jika anda ingin medapatkan maklumat tambahan mengenai barang yang hendak dibeli ataupun promosi yang sedang berlangsung, dapatkan bantuan dari jurujual.

Sebagai pengguna yang bijak, ia tidak hanya tertumpu kepada penjimatan kos sara hidup, tetapi juga dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Sesetengah pasar raya besar juga telah mengadakan hari tanpa beg plastik pada hujung minggu supaya pengguna boleh menggunakan beg kitar semula yang boleh digunakan setiap kali keluar membeli barangan dapur. Dengan ini, ia dapat meminimakan penggunaan beg plastik dan membantu memelihara alam sekitar.

Elakkan dari membeli barangan cetak rompak. Anda mungkin telah mendengar pesanan ini berulang kali. Membeli barangan cetak rompak merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Membeli CD audio cetak rompak adalah sama seperti mencuri dan merompak artis kesayangan anda. Anda boleh memainkan peranan besar dalam membantu membanteras kegiatan cetak rompak. Tiada permintaan, tiada penjualan.

Berhati-hati dengan taktik jualan yang tidak beretika. Sesetengah yang tidak beretika seringkali mencari jalan dan cara-cara baru untuk mendapatkan wang anda. Salah satu taktik yang kerap digunakan ialah taktik ‘Gores dan Menang’. Pastikan aktiviti yang dijalankan itu sah dan boleh dipercayai.

yang digunakan oleh sesetengah peniaga yang tidak beretika itu mudah saja. Anda akan disuruh untuk menggores kad dan kemungkinan besar anda akan memenangi hadiah utama! Untuk mendapatkan hadiah utama tersebut, anda perlu membayar sejumlah wang ataupun disuruh untuk membeli barangan yang tidak berkualiti.

Elakkan membeli barangan yang berjenama kerana barangan tersebut tidak semestinya berkualiti tinggi. Yang pastinya, barangan tersebut mahal. Kebanyakan orang, wanita terutamanya, gemar membeli barangan yang berjenama dan yang diimport dari luar negara. Antaranya adalah pakaian, kasut dan beg tangan. Mereka sanggup menggunakan jumlah wang yang begitu banyak semata-mata untuk membeli barangan yang berjenama untuk mengejar fesyen.

Gunakan kad kredit dengan betul. Kad kredit memang bermanfaat, tetapi ini bergantung kepada cara anda menggunakannya. Walaupun ianya lebih selamat kerana anda tidak perlu membawa terlalu banyak wang tunai, berbelanja secara berlebihan dengan kad kredit boleh mendatangkan masalah besar. Berbelanja dengan kad kredit memang mudah, tetapi membayar balik jumlah yang digunakan agak sukar. Pastikan yang anda memang perlu menggunakan kad kredit sebelum membeli sesuatu. Seboleh-bolehnya, bayarlah secara tunai.

Anda boleh menjadi pengguna bijak dengan berkongsi kereta ke tempat kerja. Dengan berbuat demikian anda boleh menjimatkan perbelanjaan minyak petrol kenderaan anda.

Semasa musim perayaan ramai yang ingin balik ke kampung masing-masing. Memang munasabah dan mudah sekiranya anda menggunakan pengangkutan awam. Pastikan anda menempah tiket bas ataupun keretapi seawal mungkin sebelum kehabisan.

Terdapat pelbagai cara untuk menjadi pengguna yang bijak. Kita perlu bijak menguruskan kewangan supaya tidak akan menyesal pada masa hadapan. Bak kata pepatah ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.