Mengapa Wanita Sering Menjadi Mangsa Diskriminasi di Tempat Kerja

0
788

woman-discrimination

Diskriminasi terhadap wanita bermaksud ‘sebarang bentuk pengasingan, pengecualian atau batasan yang dibuat atas dasar jantina yang mempunyai kesan atau tujuan untuk menjejaskan atau menolak pengiktirafan, kenikmatan atau perlakuan wanita tanpa mengira status perkahwinan mereka, mengikut suatu asas kesamarataan antara kaum lelaki dan wanita, untuk hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, sivil atau lain-lain’.

Diskrimasi terhadap wanita yang bekerjaya pula boleh berlaku dalam beberapa situasi:-

  1. Tawaran gaji yang lebih rendah berbanding pekerja lelaki walaupun pekerja wanita itu tadi mempunyai kelulusan dan kemahiran yang sama dengan pekerja lelaki.
  2. Diberikan jenis kerja yang berulang, menjemukan, tiada kemahiran serta diletakkan dalam struktur kerja yang paling rendah dalam organisasi yang terlibat. Ada kalanya wanita itu tadi tidak diberi peluang untuk bekerja di luar daripada kawasan pejabat atas ‘faktor keselamatan’.
  3. Mereka tidak akan ditawarkan kerja sekiranya hadir temuduga dalam keadaan mengandung atau akan dinasihatkan untuk ‘berehat’ apabila umur semakin meningkat, selepas dia melangsungkan perkahwinan atau apabila dia hamil kerana semua hal ini, pada pendapat majikan hanya akan menaikkan kos organisasi.
  4. Pekerja wanita juga dianggap tidak mempunyai keupayaan dalam pengurusan serta kepimpinan, lantas mengurangkan peluang untuk kenaikan pangkat. Peluang-peluang untuk menjalani latihan juga adalah terhad, kebiasaannya hanya akan diberikan kepada pekerja lelaki.
  5. Malahan yang lebih teruk lagi, pekerja wanita tadi menerima gangguan seksual daripada rakan sekerja ataupun bos mereka sendiri.

[auth]

Situasi-situasi diatas menyebabkan penulis sentiasa berfikir, mengapa diskriminasi ini sering berlaku terhadap wanita dan bukan sebaliknya? Adakah kerana:-

1)    Kebanyakan pekerja lelaki berpendapat bahawa peranan utama wanita hanyalah sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Lelaki pula merasakan diri mereka lebih maskulin dan perlu diberi tanggungjawab besar dalam mencari rezeki bagi menyara keluarganya.

2)    Kepercayaan segelintir bos bahawa fokus utama wanita akan berubah apabila mereka sudah berkahwin dan mempunyai anak. Seringkali wanita tersebut dianggap akan memilih keluarga berbanding kerjaya.

3)    Sifat wanita itu sendiri yang tidak agresif seperti lelaki, menyebabkan ada bos menganggap mereka tidak boleh memberi tugasan yang sukar atau terlalu memberi kepercayaan untuk pekerja wanita melakukan kerja-kerja yang berat.

4)    Kebanyakan pengasas atau pemimpin organisasi adalah lelaki, maka budaya organisasi dilihat lebih condong kepada pekerja lelaki.

Mitos-mitos sebegini sememangnya akan menjadi motif utama berlakunya diskrimanasi terhadap wanita. Perkara ini juga akan menimbulkan kesan emosi negatif kepada pekerja wanita jika dibiarkan berleluasa. Akibatnya pekerja wanita tadi akan mengalami kerendahan motivasi untuk bekerja, lantas mengurangkan produktiviti dan prestasi kerja. Kewibawaan seseorang wanita itu juga mungkin akan tercabar sekiranya perkara seperti ini berlaku dalam organisasi mereka. Budaya kerja yang mendiskriminasikan pekerja wanita ini pula kebiasaannya akan mempengaruhi kakitangan yang telah lama bekerja. Oleh itu akan terjadi situasi-situasi, yang mana pekerja lelaki senior merasakan dia tidak perlu hormat atau akur dengan arahan daripada ketua wanita. Ini akhirnya akan mewujudkan persekitaran kerja yang tidak sihat dan semangat cintakan organisasi tidak dapat dipupuk.

Walau bagaimanapun, pekerja di Malaysia perlu menepuk dada dan menarik nafas lega. Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan oleh Jobstreet.com, didapati majoriti responden menyangkal dakwaan berlakunya diskriminasi di tempat kerja mereka. Seramai 806 responden, dengan 63 peratus daripadanya adalah wanita percaya yang mereka telah diberi ganjaran gaji yang setimpal dan agihan kerja yang sama-rata antara pekerja lelaki dan wanita. Kenaikan pangkat pula adalah berdasarkan prestasi kerja, bukan atas faktor jantina pekerja itu. Mereka juga tidak kisah siapa bos mereka, sama ada lelaki atau wanita, kerana percaya mereka diberi kesamarataan dalam hal kerjaya. Perkara ini turut disokong oleh responden wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Perdana Menteri Malaysia sendiri dalam ucapannya ketika merasmikan Hari Wanita 2013 Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Ogos 2013 yang lalu, telah memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan terus memberi peluang kepada kaum wanita agar peranan golongan wanita dalam pembangunan negara dapat dipertingkatkan. Beliau juga menegaskan bahawa kaum wanita merupakan kumpulan masyarakat yang sangat penting dalam proses pembangunan dan transformasi Malaysia ke arah status negara maju, dan besar peranannya dalam menjayakan agenda transformasi negara. Pihak majikan di negara ini sama ada dalam sektor awam atau swasta, dinasihatkan agar lebih sensitif dan mengambil kira keperluan wanita yang terpaksa melakukan pelbagai tugas di tempat kerja, dan seterusnya meneruskan tugas sebagai seorang isteri dan ibu pula di rumah. Selain itu, majikan perlu mempertimbangkan inisiatif-inisiatif lain seperti waktu kerja anjal dan kelonggaran untuk bekerja dari rumah agar dapat menggalakkan wanita untuk kembali ke alam pekerjaan.

Kesimpulannya, walaupun hal diskriminasi gender ini tidak berlaku di negara kita, penulis percaya bahawa setiap individu harus diberikan peluang dan hak yang sama atau ‘equal oppurtunity’. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri sentiasa menyuruh umatnya menghormati wanita, seperti dalam petikan khutbah Jumaatnya yang terakhir, baginda menyebut: ‘Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! Dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.’ Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan bersama.

[/auth]