Empayar Jutaan Ringgit Loom Bands

0
471

Siapa kata anak Malaysia tidak mampu berjaya di negara asing? Terdapat ramai anak Malaysia yang telah membuktikan kejayaan mereka di peringkat dunia. Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, kini mereka mampu mengharumkan nama negara di mata dunia, sekaligus membuka mata banyak pihak tentang kemampuan anak Malaysia. Nama-nama besar seperti Jimmy Choo merupakan contoh ideal anak Malaysia yang telah mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Terbaru, kita dikhabarkan dengan satu lagi berita kejayaan satu lagi anak Malaysia di Amerika Syarikat. Cheong Choon Ng, anak Malaysia berketurunan Cina mula berhijrah ke Amerika Syarikat sejak tahun 1991. Beliau yang kini menetap di Detroit, Amerika Syarikat telah membuat satu inovasi menarik daripada getah yang diubahsuai supaya menjadi lebih mudah, menarik, dan praktikal.

Cheong Choon Ng melalui syarikatnya, Rainbow Loom yang diasaskan pada tahun 2011 telah berjaya mencetuskan fenomena baru ‘getah gelang’yang dinamakan sebagai Loom Bands. Walaupun masih boleh dikatakan baru, namun produk yang dicipta tiga tahun lalu itu telah mencapai jualan melebihi empat juta unit di seluruh dunia. Nyata, ia bukannya sekadar ‘getah gelang’ yang biasa kita lihat kerana fenomena Rainbow Loom ini bukan sahaja tersebar kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga turut meminatinya. Duchess of Cambridge dalam lawatannya ke New Zealand pada awal tahun lalu dilihat turut memakai Loom Bands sebagai aksesori di pergelangan tangannya. Selain itu, selebriti dunia seperti David Beckham, Miley Cyrus dan Harry Styles juga turut tidak ketinggalan untuk menggayakan Loom Bands sebagai sebahagian aksesori harian mereka. Menariknya lagi, pada tahun 2013, Loom Bands telah menjadi mainan yang paling dicari di enjin carian Google.

Cheong Choon Ng berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1991 untuk menyambung pelajaran di Wichita State University dan telah berjaya memperoleh ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Beliau telah bekerja sebagai jurutera ‘crash-test’ bagi Nissan Motor Company dan pada tahun 2010, ilham untuk menghasilkan Rainbow Loom mula timbul. Ilham tersebut datang ketika beliau melihat anak-anak perempuannya membuat perhiasan menggunakan gelung getah. Choon cuba untuk membuatnya namun menghadapi masalah apabila mendapati jarinya terlalu besar. Selepas membuat beberapa ujikaji, beliau mula membuat prototaip dengan menggunakan pegboard kayu dan cangkuk gigi. Didorong oleh semangat daripada keluarganya, beliau cuba untuk menjual produk ciptaannya secara komersial. Beliau berjaya memperolehi kilang di China untuk mengeluarkan bahagian-bahagian komponen produknya, manakala beliau dan isterinya akan memasang komponen tersebut di rumah mereka. Latar belakang ilmu kejuruteraan yang dimiliki Choon memjadi asas kukuh bagi produk itu bersaing di pasaran kerana beliau yang bertanggungjawab dalam reka bentuk produk, dan juga kawalan kualiti. Idea untuk menggunakan nama ‘Rainbow Loom’ datang daripada ilham saudara dan anak saudaranya.

Walau bagaimanapun, tidak semua kejayaan dapat diraih dengan mudah. Pasti akan ada rintangan yang menghalang sesebuah kejayaan itu. Hal yang sama turut terjadi kepada Choon apabila produknya tidak segera berjaya di pasaran dengan jualan awal beliau rata-ratanya kurang memuaskan. Namun, nasib beliau berubah pada tahun 2012 selepas kedai mainan utama di Amerika Syarikat mengarahkan kumpulan pertama 24 set produknya untuk dijual, dan selepas dua hari, beliau dipanggil kembali kerana produknya habis dijual. Learning Express Toys merupakan peruncit mainan yang pertama menjual Rainbow Loom di pasaran. Choon kemudiannya memulakan sebuah laman web dan memuat naik video untuk mengajar cara menggunakan kit Rainbow Loom dengan menampilkan anak-anak perempuan beliau serta anak saudaranya.

Rainbow Loom adalah sejenis gelang getah kecil, berbentuk jalur elastik dan berwarna-warni. Gelang getah tersebut kemudiannya boleh ditenun untuk dijadikan gelang, rantai dan lain-lain perhiasan. Ia dijual dalam bentuk kit yang mempunyai berates-ratus atau beribu-ribu gelang getah berwarna-warni, ‘pegboard’, cangkuk khas ‘Rainbow Loom’, dan juga klip berbentuk ‘C’ (digunakan untuk menyambung atau menutup gelang). Setiap kit dijual bermula dari harga RM50 hingga RM55. Untuk tenunan mudah, Loom Bands boleh dibuat dengan hanya menggunakan jari dan tangan, namun untuk reka bentuk yang lebih kompleks, penghasilan Loom Bands perlu menggunakan alat tenun khas iaitu sebuah pegboard plastik yang berfungsi sama seperti mesin tenun yang biasa digunakan untuk tenunan kain pada abad ke-15.

Dalam pada sibuk menempa nama di peringkat dunia, Rainbow Loom tidak ketinggalan dalam berhadapan dengan isu-isu berkaitan produknya. Terbaru, isu tentang kandungan phthalates di dalam produk Rainbow Loom menjadi sebutan ramai. Phthalates merupakan bahan kimia yang mempunyai keupayaan mengganggu hormone dan digunakan terutamanya untuk meningkatkan fleksibiliti dan meningkatkan pelbagai ciri-ciri lain plastik. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi Nadarajan, pengawalan terhadap produk ini di Malaysia masih lagi tidak jelas. Hal ini berikutan aneka getah berwarna-warni itu ditenun menjadi gelang dan tidak dikategorikan dalam kategori mainan, dan sebarang tindakan tidak boleh diambil ke atasnya. Ia perlu diklasifikasikan sebagai mainan terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa boleh berbuat apa-apa.

Walaupun isu tersebut terus menghimpit syarikat Rainbow Loom, namun hal itu tidak sesekali menjadi halangan untuknya berjaya. Sebagai rekod, Choon telah berjaya menjual 3.5 juta Loom Bands pada tahun 2013, dan permintaan terhadap produknya kian meningkat hari demi hari. Akhirnya, beliau terpaksa meninggalkan syarikat Nissan untuk mengetuai sendiri syarikat Rainbow Loom dan menyelia pengagihan keluar produk Rainbow Loom di gudang berhampiran rumahnya yang berkeluasan 7500 kaki persegi