Empayar Produk Kecantikan Sendayu Tinggi

0
869

Sesungguhnya, menjadi seorang insan yang bergelar wanita bukanlah penghalang untuk seseorang itu berjaya. Itulah yang dibuktikan oleh pengasas produk kosmetik Sendayu Tinggi, Puan Rozita Ibrahim. Berpegang kepada pepatah ‘hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat’, menjadikan wanita cekal ini mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat lagi bagi memperoleh pendapatan yang selesa. Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan mempunyai empayar perniagaan yang mampu dibanggakan, beliau telah menempuh pelbagai peristiwa duka yang mewarnai perjalanan hidupnya.

Beliau tidak seperti wanita lain yang hanya mampu berserah kepada takdir dan nasib, tetapi bangkit melawan kemiskinan yang dihadapinya sehingga bergelar usahawan wanita berjaya. Sejarah hidupnya tidak seindah wanita lain. Pernah menjadi penoreh getah dan hidup dalam serba kekurangan sehingga terpaksa memberi bayinya air sirap bagi menggantikan susu menjadikan beliau lebih kental untuk meneruskan hidupnya. Kepayahan yang dihadapinya pernah meragut nyawa anaknya ekoran tidak mampu untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Beliau menamatkan zaman gadisnya pada usia yang terlalu muda dengan lelaki pilihan keluarga, dan melalui perceraian yang menyakitkan. Dalam usia yang masih muda dan sudah berkahwin, membuatkan beliau tidak berpeluang untuk memikirkan soal kerjaya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk keluarga di samping membantu suami menoreh, membekalkan makanan, dan menjalankan perniagaan runcit. Keputusannya untuk berpisah dengan lelaki pilihan keluarganya menyebabkan dia dipulaukan oleh keluarga tercinta. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membawa diri ke ibu kota. Di sana, beliau membuat pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung diri dan anak-anaknya.

Beliau bukan sahaja pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, malah pernah menjadi penyambut tetamu dan pekerja syarikat jualan langsung. Di situlah beliau belajar untuk menjadi seorang wanita kental yang tidak bergantung harap kepada sesiapa. Kesusahan dan kepayahan dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan. Setelah mencuba pelbagai jenis pekerjaan, beliau bercadang untuk memulakan perniagaan. Barang kemas terpaksa digadaikan untuk dijadikan sebagai modal permulaan. Akhirnya, dengan bermodalkan RM400, beliau memulakan perniagaan dengan menghasilkan produk berformulasikan herba. Beliau sanggup menjalankan ujikaji produk terhadap dirinya sendiri dengan menggemukkan badannya sendiri sebanyak tiga kali dan akhirnya berjaya menurunkan berat badannnya semula.

Antara sebab utama mengapa Rozita memilih herba sebagai bahan utama di dalam produknya adalah disebabkan alam semulajadi merupakan benda yang paling hampir dengan dirinya sejak dari kecil lagi. Beliau juga mengakui pernah mengubati anak keduanya yang sakit dan lumpuh dengan hanya menggunakan tumbuhan hutan kerana tidak mampu untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna. Setelah menjalankan tiga kali ujikaji dan hasilnya menampakkan kesan yang positif, beliau mula menjual produknya dari rumah ke rumah.

Sambutan menggalakkan yang diterima terhadap produknya mendorongnya untuk menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000. Beliau menyewa sebuah kedai kecil di Plaza Majlis Perbandaran Klang dan perniagaannya semakin berkembang seperti yang diharapkan. Sambutan terhadap produk pelangsingan badannya amat menggalakkan ekoran permintaan yang tinggi daripada pengguna Malaysia yang gemar menggunakan produk warisan nenek moyang berasaskan herba.

Rozita yang amat mengagumi tokoh usahawan Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda tidak menjadikan isu tidak berpelajaran sebagai alasan untuk tidak berjaya. Setelah bertahun mengaharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, akhirnya beliau memahat nama sebagai salah seorang saudagar produk kecantikan, Sendayu Tinggi. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meluaskan empayar perniagaannya dengan menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Jumlah pengedar beliau kini sudah melebihi dari 2000 orang termasuk di Brunei dan Singapura. Beliau bukan sahaja menjual produk kecantikan malah gemar berkongsi pelbagai petua kecantikan dalam membina keyakinan diri untuk wanita.

Bagi beliau, anak-anak merupakan iltizam untuk beliau terus berjuang dalam meningkatkan pencapaian dirinya dan juga perniagaan. Pernah melalui pelbagai pengalaman buruk dalam hidup dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi mencari nafkah untuk anak-anak membuatkan beliau untuk terus melangkah ke hadapan tanpa ingin menoleh ke belakang lagi. Janjinya kepada anak-anak adalah untuk menjadi ibu yang baik kerana tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah dirinya yang kurang mendapat limpahan kasih sayang. Namun, disebabkan pengalaman itulah, beliau sedar bahawa kasih sayanglah yang menjadi kunci kebahagiaan untuk selama-lamanya. Selepas berjaya menembusi pasaran produk herba tradisional di Malaysia, beliau seterusnya bercita-cita untuk membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier.

Hal ini mungkin tidak mustahil untuk dilakukan oleh beliau kerana kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi dibimbing melalui roadshow yang dijalankan oleh beliau dalam bentuk motivasi. Di situlah beliau sentiasa mengingatkan para pengedar produknya agar tidak lupa diri dan sentiasa membantu orang lain yang lebih memerlukan. Jika kita lihat diri kita susah hari ini, kita perlu ingat ada yang lebih susah daripada kita dan jadikan kesusahan itu titik permulaan untuk kejayaan di masa hadapan. Beliau juga menganggap kecantikan luaran sahaja tidak mencukupi dan tidak menjamin apa-apa, tetapi jika kecantikan luaran itu disertakan dengan kecantikan dalaman yakni budi pekerti yang mulia, diri seorang wanita itu akan menjadi lebih sempurna.