Fareeda ‘Nyata Jelita’

0
1554

Tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan adalah satu perkara yang sangat pahit untuk ditelan. Walaupun sukar untuk kita melaluinya, namun jika kita melihat kegagalan tersebut daripada sudut yang positif, pastinya kegagalan itu akan menjadi titik pengubah kepada kehidupan kita. Begitulah yang dilalui oleh Pengarah Urusan Fareeda House of Scarf, Puan Faridah Zakaria. Beliau menganggap kegagalan dalam perniagaannya sebelum ini sebagai cabaran dan dugaan yang mencorakkan kehidupannya pada masa depan. Semangat beliau tidak pernah luntur untuk bangkit semula mencapai kejayaan. Keazaman beliau untuk mengubah nasib keluarga menjadikan beliau sentiasa berusaha dan tidak pernah kenal erti putus asa, dan hasilnya, lahirlah Fareeda House of Scarf yang menjadi dambaan wanita berhijab pada masa kini.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu, dan itulah yang terjadi kepada beliau yang sesekali tidak pernah menyangka berjaya membina jenama perniagaan tudungnya sendiri. Wanita kelahiran Singapura namun dibesarkan di Pulau Pinang ini pada mulanya berjinak-jinak dalam bidang kecantikan dan pernah membuka sebuah salun kecantikan di Pulau Pinang.

Namun, perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan dan hanya mampu bertahan selama setahun lebih sahaja. Selepas kegagalan perniagaan salun kecantikannya itu, beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain dan ini memberi tekanan kepada beliau kerana kehidupannya benar-benar susah ketika itu. Memikirkan yang beliau perlu menyara keluarga, beliau tidak mampu untuk duduk berdiam diri tanpa pekerjaan lagi. Beliau perlu membuat sesuatu untuk mengubah nasib keluarganya, dan ketika itulah beliau mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual tudung Dubai kepada rakan-rakan terdekat.

Beliau kemudiannya mendapat ilham untuk menghasilkan sendiri tudung untuk dipakai beliau berikutan berasa susah hati kerana tidak menjumpai tudung yang disukainya. Bermula dari situlah, bermulanya rekaan tudung Fareeda di mana rekaan dan potongan tudung tersebut adalah hasil daripada ilham beliau sendiri. Beliau telah membuktikan jika kita berani mencuba, sesuatu perkara itu tidaklah mustahil untuk dicapai. Apabila beliau mula memakai tudung buatannya sendiri, rakan-rakan dan saudara terdekat beliau mula menunjukkan minat dengan gaya tudung yang dihasilkan oleh beliau, dan kemudiannya mula membeli tudung daripada beliau. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan menjual tudung rekaannya bermula di rumah. Ketika itu, beliau hanya mempunyai dua mesin jahit iaitu satu untuk jahitan tepi dan satu untuk jahitan biasa. Dengan keupayaan dua buah mesin jahit itulah, beliau bertungkus-lumus untuk menyediakan tempahan tudung-tudung yang tidak putus-putus daripada pelanggannya.

Beliau menerima beratus-ratus tempahan dalam sehari dan tempahan tersebut perlu disiapkan dalam kadar yang segera. Masa yang dimiliki oleh beliau sangat terbatas ekoran perlu menjaga anak, mengurus rumahtangga, menjahit tudung dan juga melayan pelanggan dalam satu masa yang sama. Beliau hanya mampu untuk tidur dua hingga ke tiga jam sahaja sehari dan ini bukanlah alasan untuk beliau untuk patah semangat, malah ianya mendidik beliau untuk menjadi lebih berdisiplin dan menghargai masa. Beliau berasa sangat bertuah kerana memiliki seorang suami yang sangat memahami dan sentiasa memberi semangat juga dorongan kepadanya selama ini untuk terus maju ke hadapan bersama Fareeda. Malah suaminya juga banyak memberi idea dalam penghasilan rekaan tudung Fareeda.

Kini Fareeda House of Scarf mempunyai lebih daripada 100 pekerja dan 300 pengedar yang berjaya menjual hampir 20000 helai tudung setiap bulan terutamanya di cawangan Fareeda di Bangi, Selangor. Pelanggan sanggup beratur panjang demi mendapatkan tudung Fareeda lebih-lebih lagi jika edisi rekaan terbaru Fareeda berada di pasaran kerana setiap rekaan yang dihasilkan adalah terhad demi menjaga kualiti Fareeda. Walaupun harga tudung Fareeda dilihat agak mahal, dengan harga permulaan bermula pada sekitar harga RM150 sehelai, pelanggan tegarnya tetap tidak berganjak ke jenama tudung lain berikutan kain yang digunakan untuk menghasilkan tudung Fareeda adalah daripada kain yang berkualiti tinggi dari luar negara. Hal ini bukan sahaja mampu memikat hati pelanggan, malah memastikan Fareeda dapat bersaing dengan syarikat lain di Malaysia.

Jika kita lihat di Malaysia, perniagaan tudung atau pakaian tidaklah memberi keuntungan yang begitu besar kerana industri fesyen di negara kita sangat luas. Kita boleh mendapatkan rekaan baju yang sama di mana-mana sahaja kita pergi. Ini belum lagi dicampur dengan isu ‘ciplak’ yang menjadi isu besar bagi Fareeda suatu ketika dahulu. Berikutan isu itu, jenama Fareeda telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk kategori pakaian. Oleh itu, meniru atau menciplak produk dengan paten dan jenama Fareeda adalah menjadi satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pesalah. Perbezaan antara Fareeda dengan jenama tudung yang lain adalah kualiti dan gaya yang menarik di dalam setiap penghasilan tudung Fareeda. Berpegang pada cita-cita ingin menjadikan wanita bertudung kelihatan anggun dan mengetengahkan lagi sifat kewanitaan di dalam diri mereka, Faridah berazam akan terus berusaha menghasilkan rekaan-rekaan baru yang segar dan unik agar Fareeda terus menjadi penyeri kepada wanita-wanita berhijab di luar sana.