Felda dan Penanaman Getah

0
2624

Sejarah Penanaman Getah Di Malaysia

pokok getah

Getah (Hevea Brazilliensis) berasal dari negara Brazil. Pada tahun 1876, pemerintah Inggeris bernama Mr. H.A. Wickham telah membawa 70, 000 biji benih getah ke Royal Botanic Garden di England. Biji-biji getah ini kemudiannya ditanam di Sri Lanka, Jawa dan Singapore Botanic Garden sebelum dibawa masuk ke Kuala Kangsar oleh Mr. H.H. Ridley. Biji-biji getah ini kemudiannya diedarkan untuk ditanam di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan beberapa negara Asia. Mr. H.H. Ridley bukan sahaja telah memperkenalkan tanaman getah ke Tanah Melayu, malah dia juga memberi sumbangan besar dalam penanaman getah apabila memperkenalkan kaedah ‘menoreh’ untuk membantu pekebun-pekebun mendapat hasil getah mentah yang lebih banyak berbanding kaedah sebelumnya. Menurut Mr. H.H. Ridley, apabila penoreh melakukan torehan, curam torehan perlulah dilakukan pada sekitar 300 agar susu getah mengalir terus ke dalam cawan atau bekas tadahan susu getah. Katanya lagi, t orehan yang paling baik adalah sedalam 1 mm daripada kulit pokok getah untuk menghasilkan susu getah yang lebih banyak. Torehan yang terlalu dalam pula akan menghasilkan susu getah yang cair. Ia juga akan merosakkan batang pokok getah itu.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perusahaan getah adalah di bawah seliaan Lembaga Getah dan Institut Penyelidikan Getah (RRIM). RRIM berfungsi untuk menguji keberkesanan tanaman getah, membantu pembangunan dan pemodenan industri getah dalam semua aspek seperti penanaman pokok getah, pemprosesan getah mentah, pembuatan barangan getah dan pemasaran getah dan produk hasil getah. Penanaman getah telah dikomersialkan apabila b anyak tanah-tanah di Tanah Melayu pada ketika itu ditanam dengan pokok-pokok getah. Pedagang Inggeris yang nampak potensi getah telah mengambil kesempatan ini untuk membuka ladang-ladang getah di Tanah Melayu. Syarikat asing telah menguasai 70% ladang di Tanah Melayu, diikuti 23% milik peniaga Cina seperti Lee Rubber Estate Ltd dan 7% milik usahawan India. H arga getah asli di Tanah Melayu pada ketika itu semakin meningkat, sehingga pernah pada suatu masa harganya meningkat sekali ganda kesan daripada peperangan yang berlaku di Semenanjung Korea.

Setelah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, banyak kilang-kilang yang berasaskan getah telah dibangunkan. Pada ketika itu, permintaan getah asli dunia kian melonjak sehingga Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak bin Haji Dato’ Hussien telah membuat keputusan untuk membuka penempatan peneroka FELDA, dengan fokus tanaman utamanya adalah getah.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)

Pada 1 Julai 1956, di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Land Development Ordinance), kerajaan Malaysia telah menubuhkan FELDA, sebuah agensi separa kerajaan yang berfungsi untuk menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah serta pembangunan kawasan yang dimiliki oleh FELDA dan syarikatnya. Di samping itu, FELDA juga ditugaskan untuk menguruskan perkhidmatan ekonomi, sosial, pertanian, penempatan, perindustrian dan komersial serta aktiviti sampingan. FELDA juga merupakan badan yang ditugaskan untuk melaksana kegiatan yang dapat membantu memodenkan sektor pertanian di kawasan pentadbirannya terutama dalam kegiatan yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan.

Sehingga kini, setelah lebih 50 tahun FELDA ditubuhkan, kumpulan FELDA mempunyai 80 syarikat yang aktif. Sebagai sebuah entiti bebas dan tidak bergantung kepada bantuan atau dana daripada kerajaan, apa sahaja pendapatan dan keuntungan yang dijana oleh Kumpulan FELDA akan dikongsi bersama para peneroka FELDA. Pendapatan atau keuntungan ini boleh diperoleh dalam bentuk pembangunan komuniti, infrastruktur, tanggungjawab sosial korporat, biasiswa, pendidikan, tanaman semula, bantuan kewangan dan sebagainya. Peneroka FELDA juga dapat menikmati pelbagai kemudahan pinjaman tanpa faedah seperti pinjaman perumahan. Tanah yang diteroka juga akan menjadi hak milik mereka sendiri. Selain itu, dengan penyenaraian FELDA Flobal Ventures FGV di bursa saham Malaysia, setiap peneroka juga berpeluang menerima saham dan keuntungan bagi setiap saham yang diperoleh. Perubahan-perubahan yang dilakukan FELDA semenjak beberapa tahun lalu adalah bagi memenuhi keperluan komuniti FELDA sendiri yang juga berubah mengikut peredaran semasa.

Beberapa statistik daripada pihak FELDA berkaitan dengan getah adalah seperti yang berikut:

  • Bagi tahun 2010, keluasan tanah bertanam getah untuk FELDA adalah seluas 65, 932 hektar kedua terbesar selepas RISDA (587, 225 hektar). Jumlah keseluruhan tanah bertanam getah untuk tahun 2010 pula adalah seluas 948, 590 hektar, yang merangkumi tanah milik RISDA, FELDA dan FELCRA.

  • Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh FELDA bertarikh 21 Mac 2012, bilangan peneroka getah teramai adalah di Johor iaitu seramai 3, 158 orang. Kedah pula mempunyai peneroka seramai 3, 077 dan Pahang pula seramai 2, 623 orang.

  • Mengikut statistik pengeluaran getah di bawah Rancangan FELDA bagi tahun 2009 pula menunjukkan negeri terbanyak mengeluarkan getah untuk tahun 2009 adalah Negeri Sembilan (19, 454 tan metrik), diikuti Kedah (11, 688 tan metrik) dan Johor (10, 504 tan metrik).

  • Terdapat lima destinasi utama eksport produk getah negara ketika ini iaitu di China, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Brazil yang membentuk 58 peratus daripada jumlah eksport.

Penanaman Getah Di Malaysia

Pokok getah adalah sejenis tumbuhan tropika dan termasuk dalam tanaman jangka panjang atau tanaman saka. Jangka hayat untuk pokok getah mengeluarkan hasil adalah antara 30 hingga 40 tahun. Pokok getah akan meluruhkan daun setiap 1-2 tahun sekali dan digantikan dengan daun baru. Biji getah yang cukup matang akan meletup dan menggugurkan bijinya yang kemudian akan bercambah. Pokok getah bukan sahaja diusahakan untuk penghasilan susu getah sahaja tetapi kini batang getah merupakan komoditi penting di Malaysia bagi menghasilkan perabot kayu getah yang sangat cantik dan berharga.

Kini pokok getah telah banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Malaysia merupakan pengeluar getah yang utama di dunia selepas Indonesia dan Thailand. Perusahaan kereta menggunakan tayar getah asli telah menyebabkan permintaan getah asli dunia semakin meningkat. Pokok getah kini telah menjadi satu industri yang besar di negara-negara ini. 

Masalah Yang Dihadapi

Kebiasaannya FELDA akan melantik kontraktor untuk melakukan program penanaman semula di ladang-ladang getah milik FELDA. Malangnya, terdapat kes kegagalan kontraktor untuk melaksanakan tugas mereka, sehingga berlakunya kelewatan dalam proses tanam semula . Ada peneroka yang terpaksa menunggu sehingga lebih daripada enam tahun selepas anak benih getah ditanam untuk mula menoreh. Ini akan memberi impak daripada segi ekonomi kepada peneroka-peneroka ini. Memang seperti yang kita sedia maklum, sepanjang tempoh penanaman semula, peneroka akan diberikan elaun sara hidup RM1, 200 oleh pihak FELDA. Namun, elaun sara hidup ini sebenarnya adalah hutang peneroka kepada FELDA dan perlu dibayar balik selepas getah-getah mereka sudah boleh mengeluarkan hasil. Bagi pihak pengurusan FELDA, untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang FELDA telah mengenakan denda ke atas kontraktor yang lewat menyiapkan kerja mereka.

Boleh dikatakan harga getah di Malaysia ini ada naik turunnya . Sekitar akhir tahun 2010, harga getah pernah mencecah RM5.00 sehingga RM6.50 sekilo, tetapi kini jatuh pada harga RM0.90 sehingga RM1.00 sekilo. Di kala harganya naik mendadak, pernah ada pekebun kecil yang memperoleh pendapatan antara RM1, 500 hingga RM2, 000 sehektar sebulan. Di tanah FELDA sendiri, rata-rata pendapatan sebulan peneroka adalah lebih tinggi daripada guru lepasan ijazah. Ada juga antara peneroka ini yang memperoleh pendapatan mengatasi elaun asas seorang wakil rakyat! Ada guru yang sanggup pergi menoreh pada pukul 4 pagi sebelum memulakan tugas mengajar di sekolah. Semua ingin mengambil kesempatan ke atas kenaikan harga getah pada ketika itu untuk mendapat pendapatan yang lumayan. Fenomena kenaikan harga getah yang berlaku pada masa itu adalah kesan permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa dan pengeluaran yang rendah daripada negara pengeluar terbesar seperti Thailand dan Indonesia yang pada ketika itu mengalami krisis ekonomi dan politik. Di samping itu, ia juga dipengaruhi oleh faktor kenaikan harga bahan bakar petroleum, kepesatan industri pembuatan tayar di China dan industri automotif di India.

Keluasan penanaman getah juga dilihat semakin mengecil, akibat kesan daripada beberapa faktor seperti petani lebih minat untuk menanam kelapa sawit, harga getah yang tidak menentu dan rendah terlalu lama, kekurangan penoreh getah, masa yang lama untuk menunggu pokok getah untuk ditoreh, tanah diubah syarat kepada tanaman lain dan paling kritikal adalah tawaran pembelian kayu getah yang aktif oleh kilang perabot.

Pendapatan negara melalui hasil eksport barangan getah juga dilihat mulai merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran penggunaan getah tiruan yang ternyata lebih murah berbanding getah asli.  Menyedari keadaan ini pelbagai cara dilakukan  untuk meningkatkan mutu dan kualiti getah.  Dalam waktu yang sama, satu usaha baru dibuat, iaitu mempelbagaikan barangan keluaran hasil pokok getah. 

Kesimpulan

Kini, walaupun harga getah tidak lagi mampu mencapai harga tertinggi yang pernah diperoleh dahulu, namun beberapa langkah baru bagi membantu memulihkan harga pasaran telah pun dipersetujui oleh pakatan negara pengeluar utama komoditi itu, iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. Antaranya, penarikan balik 300, 000 tan getah asli daripada pasaran dan mempercepatkan program penanaman semula seluas 100, 000 hektar yang bakal menyebabkan pengurangan eksport sebanyak 150, 000 tan. Selain itu faktor cuaca turut akan menyokong harga komoditi itu untuk melonjak pada paras yang tinggi. Jepun juga dilihat antara negara yang berminat untuk mengimport getah asli daripada negara pengeluar utama ini, sejajar dengan pemulihan beransur-ansur industri automotif di negara itu. Beberapa pengeluar kereta utama dunia seperti Nissan juga kini sedang dalam proses meningkatkan pengeluaran unit keretanya susulan pelancaran model barunya. Hal ini dilihat dapat meningkatkan permintaan terhadap getah asli, seterusnya menaikkan harga getah sedunia.

Getah sememangnya dilihat mempunyai potensi yang cukup besar. Penanaman getah diakui sebagai satu perusahaan jangka panjang yang boleh mendatangkan hasil yang berpanjangan. Namun bagaimanapun ia perlukan perancangan dan komitmen yang teliti daripada pelbagai pihak. Jika dahulu industri getah dianggap tidak penting lagi, namun hari ini semua menyedari dan bersetuju bahawa industri getah semakin penting dan boleh menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi negara.