Fenomena Burger Bakar Kaw Kaw

0
649

Siapa sangka Burger Bakar Kaw Kaw yang dihasilkan daripada idea dua uasahawan muda, Mohd Faizul bin Baharudin (Zul) dan rakannya Nini Haznita binti Muhammad (Nita) di bawah syarikat Protalis Resources Sdn. Bhd. kini telah menjadi fenomena semasa dan menjadi perniagaan ikutan ramai. Ditubuhkan pada April 2011, Burger Bakar Kaw Kaw merupakan produk pertama burger bakar ketika itu yang terdapat di pasaran. Selain itu, menariknya tentang Burger Bakar Kaw Kaw ini adalah, ia menampilkan ‘Giant Homemade Grilled Patty’ dan ‘1st Street Kiosk for Grilled Burgers’ pertama di Malaysia.

Kebiasaannya di Malaysia, burger yang dijual akan menggunakan produk daging burger sejuk beku yang mudah didapati di pasaraya dan mempunyai rasa dan saiz yang sama. Melihat kepada trend semasa itu, memberi idea kepada mereka berdua untuk mencipta satu revolusi daging burger di mana mereka telah memulakan fenomena baru dengan membuat sendiri patty daging itu. Mereka mencipta patty daging mereka sendiri dengan menggunakan resipi rahsia yang menggabungkan rasa asli Malaysia dan rasa autentik dari Eropah, dan bertitik tolak dari itulah, mereka mula menjual patty tersebut hanya di tepi jalan.

Mengenai apakah keistimewaan Burger Bakar Kaw Kaw ini sehingga mendapat sambutan di luar jangkaan sehingga menjadi ‘trend setter’ kepada produk burger bakar yang lain, jawapannya mudah sahaja. Hal ini adalah selain menggunakan daging segar yang padat dan besar, konsep burger bakar merupakan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, ia juga mudah didapati kerana hanya dijual di gerai tepi jalan sahaja.

Jika sebelum ini, burger bakar mungkin hanya boleh didapati di dalam menu restoran-restoran mewah atau restoran makanan segera, kini tidak lagi kerana anda boleh mendapatinya di gerai Burger Bakar Kaw Kaw. Perbandingannya pula amat berbeza kerana Burger Bakar Kaw Kaw merupakan gerai jalanan yang menawarkan burger bakar pada harga yang jauh lebih murah. Selain diperbuat daripada daging segar yang dihasilkan sendiiri dengan penuh perisa dan pelbagai rasa yang istimewa dan tersendiri, saiz hidangan Burger Bakar Kaw Kaw adalah dua kali ganda daripada yang terdapat di restoran makanan segera. Ini membuatkan pelanggan dapat menikmati rasa yang benar-benar berbaloi.

Puratanya, Burger Bakar Kaw Kaw menerima sebanyak 250 hingga 300 pesanan setiap hari. Adakalanya, pelanggan bukan sahaja membeli untuk diri sendiri, malah ada juga yang membeli untuk rakan-rakan dan ahli keluarga. Terdapat pelanggan yang pernah memesan sebanyak 30 biji burger bakar dek kerana keenakannya! Burger Bakar Kaw Kaw menawarkan harga yang istimewa dan berpatutan bergantung kepada citarasa dan permintaan pelanggan.

Pelanggan boleh meminta kepingan patty daging yang mereka inginkan di dalam burger mereka dan hal inilah yang menjadikan Burger Bakar Kaw Kaw lebih istimewa berbanding burger biasa yang lain. Burger Bakar Kaw Kaw juga pernah mencipta rekod dengan menjual burger bakar yang berharga kira-kira RM150. Burger bakar yang dipanggil ‘Tower 20’ itu mengandungi 20 patty daging burger berserta keju dan bakon.

Burger Bakar Kaw Kaw memulakan perniagaan dari pukul 6.30 petang hingga 2 pagi, dan seawal jam 6.30 petang, dapat dilihat pelanggan sudah beratur panjang untuk mendapatkan burger bakar kegemaran mereka. Melihatkan kepada pelanggan yang ramai, sudah tentu sistem pesanan memainkan peranan yang penting. Hal ini amat penting bagi memastikan kelancaran perniagaan.

Para pekerja akan mengambil pesanan daripada pelanggan sebaik sahaja nomboor giliran diberikan kepada mereka. Burger Bakar Kaw Kaw menggunakan sistem giliran agar sistem pesanan lebih lancar dan memudahkan para pekerja untuk menyiapkan pesanan. Selain itu, mereka juga telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap pesanan iaitu selama 1 minit 25 saat tanpa mengira bilangan dan jenis untuk sesuatu pesanan menjadikan kira-kira 50 pesanan dapat disiapkan dalam tempoh sejam.

Burger Bakar Kaw Kaw memulakan operasi pertamanya di Kafe Arena di Seksyen 5 pada 2011 dan mereka merupakan salah seorang penjual di situ. Disebabkan menghadapi masalah pengurusan ketika menjalankan perniagaan burger bakar, mereka akhirnya memutuskan untuk berpindah ke lokasi baru iaitu di Seksyen 2, Wangsa Maju. Gerai di Wangsa Maju itu merupakan gerai jalanan yang didirikan sendiri oleh Zul dan Nita dari mula hingga akhir.

Bermula hanya dengan peralatan asas, mereka melangkah ke hadapan setapak demi setapak hinggga diiktiraf sebagai ‘1st Street Burger Bakar Kiosk in Malaysia’. Ketika baru berpindah ke lokasi baru di Wangsa Maju pada akhir Disember 2011, hanya 100 keping patty daging burger yang disediakan untuk sehari. Namun, setelah beroperasi hampir lebih tiga bulan, jumlahnya meningkat kepada 1000 keping patty daging sehari ekoran permintaan yang amat menggalakkan.

Kini, Burger Bakar Kaw Kaw mempunyai 7 cawangan di mana 1 daripadanya adalah restoran dan cawangan utamanya terletak di Seksyen 2, Wangsa Maju. Usahawan muda ini juga mempunyai ‘Production House’ mereka sendiri dan merancang untuk melebarkan sayap ke lokasi yang lain pula. Pembabitan Burger Bakar di media sosial bukanlah satu perkara baru. Burger bakar yang paling digemari oleh pelanggan Burger Bakar Kaw Kaw iaitu ‘beef burger cheezy with bacon’ atau nama gelarannya ‘Baconizer’ bukan sahaja mendapat liputan 8TV, TV3 ASTRO dan Hot FM, malah pernah terpampang di dada akhbar dan majalah seperti Berita Harian dan FHM Magazine.

Burger Bakar Kaw Kaw akan terus memperbaiki mutu produknya melalui respon yang diterima daripada para pelanggannya. Memandangkan industri burger di Malaysia sangat luas, Burger Bakar Kaw Kaw mensasarkan untuk menjadi ‘1st Local Homemade Hamburger Fast Food’ yang akan membawa jenama mereka ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.