Padah Meminjam dari Ah Long

0
2175

Bala Pinjaman Wang Segera Ah Long.  Tangan kaki ditetak. Telinga jari putus”

Membaca tajuk akhbar ini sahaja sudah cukup mengerikan, namun ini kisah benar.  Ini lah penderitaan yang dialami oleh A.Muthukrishan, seorang peniaga daging yang diancam ugutan demi ugutan oleh konco-konco Ah Long setelah dia gagal melunaskan bayaran ansuran pinjaman yang dibuat dengan Ah Long.  Pinjaman sebanyak RM50, 000 yang dibuat dengan syarikat pinjaman berlesen sejak tahun 2006 itu, memerlukan dia membayar sebanyak RM200 setiap hari.  Detik hitam hidupnya bermula setelah dia gagal melunaskan baki pinjaman sebanyak RM13, 000.  Konco-konco Ah Long ini tadi mula menganggu hidupnya dan membuat ancaman dan ugutan. Dia kemudiannya dipaksa untuk menyerahkan rumah yang dicagarnya.  Dia berkeras tidak mahu menyerahkan rumahnya, lantas dipukul dan kedua tangan dan kakinya kemudiannya ditetak.  Telinga kanannya dihiris dan ibu jarinya pula dipotong dan dibawa balik oleh konco-konco Ah Long ini untuk dijadikan bukti kepada ketua yang mereka ini telah menjalankan tugas mereka. 

Ah Long adalah antara istilah popular bagi ‘ceti haram’.  Mereka juga dikenali dengan nama gelaran ‘lintah darat’.  Perkataan Ah Long itu sendiri diambil daripada perkataan Cina yang bermaksud ‘Naga’.  Ah Long merujuk kepada badan pinjaman atau orang perseorangan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi, ada kalanya setinggi 40% kepada peminjam.  Keingkaran peminjam untuk membayar balik pinjaman akan disusuli dengan ugutan dan ancaman.  Ah Long ini juga tidak akan ragu-ragu untuk melakukan keganasan sekiranya ugutan dan ancaman yang dibuat tadi tidak mendatangkan sebarang hasil. Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran Ah Long, antaranya ialah mereka yang tidak boleh memperoleh pinjaman daripada bank atau institusi kewangan yang sah akibat telah di senarai hitam kan oleh pihak bank.  Ah Long juga menyasarkan peminjam yang terdiri daripada peniaga kecil yang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan, peniaga yang menghadapi masalah kewangan, kaki judi malahan suri rumah juga turut menjadi sasaran mereka.

Strategi Ah Long

Pelbagai cara digunakan oleh sindiket pinjaman wang haram atau Ah Long ini untuk menjerat mangsa mereka.  Ada yang menggunakan pendekatan memasukkan kad nama mereka dalam peti pos kediaman dan premis perniagaan.  Ada juga yang menampalkan iklan tawaran pinjaman syarikat mereka pada tiang-tiang lampu, tempat awam, di tepi jalan raya dan sebagainya.  Siapa yang tidak tertarik jika ada di antara iklan ini yang menggunakan kata-kata yang menarik seperti ‘Pinjam RM1000, Dapat RM1200”.  Ada juga di antara Ah Long kini yang menjadi lebih licik dengan menggunakan surat yang dipos kepada syarikat-syarikat tertentu.  Mereka ini menyasarkan golongan peniaga kecil dan pemilik syarikat.  Kandungan surat itu adalah iklan pinjaman wang serta nombor telefon untuk dihubungi sekiranya berminat. 

Bila ditanya kepada mangsa Ah Long, ada yang tertarik dengan tawaran pinjaman yang diberikan kerana kata mereka Ah Long ini kelihatan sangat profesional serta bijak menggunakan bahasa lembut yang menarik minat mereka untuk melakukan pinjaman.  Dalam menawarkan pinjaman kepada pelanggannya pula, syarat yang dikenakan oleh Ah Long amat longgar, hanya bersandarkan penyata gaji sahaja pinjaman boleh dilakukan.  Peminjam juga tidak memerlukan penjamin, malahan mereka yang sudah berada dalam senarai hitam oleh pihak bank tempatan juga berpeluang untuk melakukan pinjaman.  Had pinjaman yang diberikan juga agak tinggi, namun sebenarnya makin tinggi pinjaman yang dibuat maka peminjam akan berhadapan dengan kadar faedah pinjaman yang juga agak tinggi!. 

Daripada sudut proses pinjaman pula, Ah Long menawarkan proses pinjaman yang mudah, tanpa perlu menyediakan kertas kerja dan penyediaan pelbagai jenis dokumen yang lain.  Walau bagaimanapun, terdapat mangsa Ah Long yang memberitahu yang mereka perlu menandatangani borang perjanjian yang dikosongkan.  Di sinilah taktik sebenar Ah Long itu tadi.  Kertas kosong yang mengandungi tandatangan peminjam ini kemudiannya akan dicetak terma dan syarat serta jumlah ansuran yang perlu dibayar.  Kajian mendapati ada Ah Long yang mengenakan kadar faedah yang tinggi, antara 6 hingga 30 peratus sebulan sedangkan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, maksimum kadar faedah yang boleh dikenakan ialah 18 peratus setahun tanpa cagaran ataupun maksimum 12 peratus setahun sekiranya ada cagaran.

Setelah segala urusan pemprosesan berakhir, Ah Long ini kemudiannya akan menyediakan wang pinjaman.  Urusan pemprosesan boleh diselesaikan dalam masa 24 jam sahaja dan wang pinjaman kemudiannya akan diberikan kepada peminjam.  Daripada segi pembayaran semula, ada Ah Long yang menawarkan bayaran balik sehingga RM10 sehari bagi peminjam untuk membuat bayaran ke atas pinjaman yang dibuat.  Segala-galanya dilakukan tanpa dokumen hitam putih, hanya perlu cagarkan salinan pasport atau kad pengenalan sahaja!

Baru-baru ini telah terbongkar kes sindiket Ah Long yang membuka pusat perjudian internet di kawasan kediaman dan perindustrian bagi menarik pekerja kilang rakyat tempatan dan asing untuk berjudi dan berhutang dengan mereka.  Ah Long ini tadi menawarkan kadar faedah pinjaman wang yang tinggi dan sudah tentunya jika gagal membayar hutang, pendekatan ganas akan dilakukan dengan mengugut dan mencederakan pekerja terbabit.  Ada antara mereka yang terpaksa menyerahkan kad ATM mereka bagi membolehkan Ah Long ini tadi mengeluarkan wang gaji mereka untuk membayar balik hutang pada setiap bulan. 

Contoh Kekejaman Ah Long

Ah Long sering kali mengugut dengan menggunakan keganasan kepada peminjam yang gagal membayar pada masa yang ditetapkan. Antara contoh keganasan yang sering dilakukan terhadap peminjam adalah seperti menyembur, menyimbah atau menconteng cat merah pada dinding rumah atau premis perniagaan milik si peminjam.  Ada juga yang mencampurkan cat dengan telur busuk sebelum menyimbahkannya cat tadi.  Ada juga yang menulis kata-kata kesat pada dinding peminjam oitu.  Sudah tentu perkara ini akan memalukan si peminjam.  Mana mahu diletakkan muka ini apabila semua jiran tetangga tahu dia meminjam dan kini menjadi mangsa buruan Ah Long!

Ada juga Ah Long yang bertindak lebih ganas dengan mengantungkan kepala khinzir di rumah si peminjam untuk memalukan mangsa itu sendiri.   Terdapat juga peminjam yang dipegang kad ATM nya oleh konco Ah Long ini yang akan menemani peminjam ke mesin ATM untuk mengeluarkan duit pada setiap bulan.  Setelah duit dikeluarkan dan diberi kepada Ah Long ini, kad ini akan diserahkan kembali kepada Ah Long tadi.  Lebih ganas lagi, ada Ah Long yang memecah masuk kediaman atau premis perniagaan dan merampas barangan yang terdapat di dalamnya.

Keganasan Ah Long ada kalanya tidak terhenti di situ sahaja, ada juga yang bertindak lebih ganas dengan mencederakan peminjam atau ahli keluarga si peminjam.  Contoh kes pada awal artikel ini hanyalah salah satu daripada beribu-ribu kes yang berlaku dan dilaporkan sehingga kini.  Pada tahun 2009, kita digemparkan dengan kes Ah Long yang mengurung peminjam mereka.  Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menemui tiga peminjam yang dikurung dalam sebuah bilik sempit bersaiz 7 kaki x 5 kaki dengan leher, tangan dan kaki dirantai seperti haiwan.  Mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil itu.  Mereka ini akan dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau sebagainya.  Ketika ditemui, mereka berada dalam keadaan uzur dengan kesan penghidratan akibat dikurung terlalu lama.  Lebih mengejutkan apabila peminjam ini mengakui yang wang yang dipinjam tidaklah sebanyak mana, hanya antara RM1, 500 dan RM4, 000 sahaja.

Ada juga peminjam yang tidak tahan apabila dimalukan oleh konco-konco Ah Long ini, maka peminjam ini terpaksa melarikan diri daripada kediaman masing-masing.  Ada suri rumah yang terpaksa melacur untuk membayar hutang dan ada yang terpaksa berpisah dengan pasangan masing-masing akibat tidak tahan gangguan dengan Ah Long itu.  Terdapat juga kes yang mana peminjam mengambil jalan mudah dengan membunuh diri mereka sendiri akibat tekanan yang diterima setiap hari daripada konco-konco Ah Long.

Kesimpulan

Gejala Ah Long merupakan masalah sosial yang sudah lama berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan ramai orang yang tertipu dan menjadi mangsa kekejaman Ah Long ini. Ekoran sistem pembiayaan persendirian negara ini yang boleh dikatakan kurang mesra peminjam dan terlalu banyak syarat yang perlu dipatuhi, makanya masyarakat lebih cenderung untuk meminjam daripada Ah Long tanpa berfikir panjang tentang risiko yang bakal dihadapi.  Akibat daripada permintaan orang ramai yang tetap ada sepanjang masa, maka tidak hairanlah ceti haram ini semakin bermaharajalela dan tumbuh bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Namun terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengelak diri anda daripada menjadi mangsa Ah Long.  Sekiranya anda ingin membuat pinjaman, maka pohon lah menerusi institusi perbankan tempatan yang dijamin.  Malaysia kini mempunyai banyak institusi kewangan yang menyediakan pelbagai jenis pinjaman kepada orang awam.  Bandingkan setiap tawaran yang diberi dan buatlah pilihan yang terbaik dengan mengambil kira faedah dan jumlah potongan bulanan yang dikenakan oleh pihak bank.  Jadilah peminjam yang bijak dengan berbincang dengan pihak bank untuk lebih memahami terma dan syarat yang dikenakan.  Sekiranya anda ingin menceburi bidang perniagaan, kerajaan dengan bantuan beberapa agensi kerajaan yang lain ada menyediakan dana pinjaman yang dikhaskan untuk membantu mereka yang ingin memulakan perniagaan mereka.

Ukur Baju Di Badan Sendiri”.  Ada manusia yang bila melihat orang lain menjadi kaya, mereka pun mahu kaya.  Tanpa perlu berusaha, mereka mengambil jalan pintas dengan meminjam daripada Ah Long.  Ada juga yang tertarik dengan skim MLM dan mengambil jalan mudah melabur menggunakan duit yang dipinjam daripada Ah Long.  Jika barangan yang diingini itu lebih kepada kemahuan dan bukannya keperluan, maka seelok-eloknya kumpul lah duit sendiri dan elakkan daripada meminjam daripada mana-mana institusi kewangan lebih-lebih lagi meminjam dengan Ah Long sendiri.

Walaupun amaran demi amaran telah dikeluarkan oleh pihak polis kepada Ah Long ini, namun ia seperti tidak diendahkan oleh mereka.  Meminjam daripada Ah Long bukannya satu daripada jalan keluar daripada dibelenggu dengan hutang ataupun jalan untuk memulakan perniagaan ia mungkin permulaan kepada detik hitam dalam hidup anda. Berhati-hatilah.