Perbezaan antara Enterprise & Sendirian Berhad (Sdn Bhd)

0
13440

Kini, ramai yang mula berjinak-jinak untuk menyertai bidang perniagaan kerana tidak mahu lagi bekerja di bawah telunjuk orang lain. Namun, satu persoalan akan timbul apabila hendak mula mendaftarkan perniagaan masing-masing. Perlukah didaftar atas nama Enterprise atau Sdn. Bhd.? Bagi mereka yang masih keliru, jangan risau. Perbezaan paling mudah yang boleh dilihat adalah Enterprise (perniagaan boleh dijalankan secara sendiri akau berkongsi dengan rakan) dan Sdn. Bhd (perniagaan tidak boleh dilakukan secara sendirian). Enterprise dan Sdn. Bhd. adalah bentuk perniagaan yang memerlukan lesen berdasarkan ‘Registration of Business Act’.

Enterprise boleh didaftarkan sebagai milikan tunggal atau perkongsian. Sesuai untuk perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan dan sederhana. Mempunyai liabiliti yang tidak terhad (asset persendirian anda juga terdedah kepada risiko jika perniagaan mengalami kerugian).

Sdn. Bhd. memerlukan sekurang-kurangnya dua orang ahli untuk ditubuhkan. Sesuai untuk mereka yang ingin mengembangkan perniagaan atau perniagaan yang dijalankan adalah berskala besar. Mempunyai liabiliti yang terhad (asset persendirian anda akan dilindungi).

Kelebihan Sdn. Bhd. berbanding Enterprise?

Syarikat Sdn. Bhd. adalah berliabiliti terhad – Risiko kerugian dan bankrap bagi syarikat Sdn. Bhd. hanyalah terhad kepada harta yang disumbangkan ke dalam syarikat itu, tetapi risiko untuk perniagaan Enterprise rugi atau bankrap adalah lebih besar kerana risikonya termasuk harta perniagaan dan juga harta peribadi.

Jangka hayat syarikat terjamin – Sesebuah syarikat tidak akan dibubar jika salah seorang pengarah atau pemegang saham meninggal dunia. Namun berbeza dengan perniagaan Enterprise, kematian pemilik atau rakan kongsi akan diikuti dengan pembubaran perniagaan.

Kemudahan untuk mendapat modal bagi syarikat Sdn. Bhd. adalah lebih besar berbanding dengan perniagaan Enterprise kerana ianya lebih teratur dari segi pengurusan lembaga pengarah, mesyuarat agung tahunan, laporan audit dan juga laporan tahunan.

Syarikat Sdn. Bhd. berpotensi untuk berkembang luas sama ada melalui penggabungan, ambil alih atau usahasama, sebaliknya tahap perkembangan perniagaan Enterprise pula agak terhad.

Pemilik saham bagi syarikat Sdn. Bhd. juga tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan kerana pengurusan syarikat dijalankan oleh ahli lembaga pengarah.

Perbezaan Sdn. Bhd. dan Enterprise

Syarikat Sdn. Bhd

Konsep entiti
Sebuah syarikat Sdn. Bhd. adalah satu entiti sah yang berasingan, terpisah dari identiti pemegang saham, pengarah ataupun ahli-ahlinya. Oleh itu, asset yang dimiliki oleh syarikat adalah hak milik syarikat dan bukannya hak milik perseorangan. Begitu juga dengan hutang, syarikat yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.

Liabiliti dalam perundangan
Sebuah syarikat Sdn. Bhd. dan pemiliknya adalah dua entiti yang berasingan dari segi perundangan. Jika seseorang menyaman syarikat itu atas sebab-sebab tertentu, pemilik syarikat itu berkemungkinan hanya akan kehilangan apa yang dia telah laburkan dalam syarikat.

Konsep berterusan
Syarikat Sdn Bhd akan terus wujud walaupun selepas kematian salah seorang pemegang saham, pengarah ataupun ahli-ahlinya. Saham orang yang meninggal dunia boleh diserahkan kepada orang lain, sepertimana yang dituliskan dalam surat wasiat, dan kewujudan syarikat itu tidak terganggu. Saham itu juga boleh dijual mengikut kehendak waris, dan pemilik baru saham tersebut akan menjadi pemegang saham syarikat.

Cukai
Cukai akan dikenakan ke atas syarikat. Kesemua perbelanjaan yang terbabit dalam pemerolehan pendapatan sebuah syarikat Sdn. Bhd. itu boleh diberi pelepasan bagi tujuan cukai pendapatan. Pelepasan termasuklah faedah ke atas pinjaman yang diambil bagi modal pusingan, gaji pekerja, komputer, kereta dan yuran audit dan cukai.

Perniagaan Enterprise

Bentuk perniagaan Enterprise

Perniagaan Tunggal-Perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang (1) pemilik.

Perniagaan Perkongsian-Perniagaan yang dimilki oleh  sekurang-kurangnya dua (2) orang dan tidak melebihi dua puluh (20) rakan kongsi.

Konsep entiti
Pemilik perniagaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi aset dan juga liabiliti syarikat.

Liabiliti dalam perundangan
Pemilik syarikat dan syarikat itu adalah satu entiti yang sama dari segi perundangan. Oleh itu, pemilik syarikat berkemungkinan akan hilang keseluruhan wang simpanan dan hartanya jika seseorang menyaman syarikat itu dan menang.

Konsep berterusan
Apabila pemiliknya meninggal dunia, keseluruhan perniagaan beserta asset dan liabiliti perniagaan akan diuruskan mengikut wasiat. Selain itu, perniagaan tersebut juga akan dibubarkan apabila pemiliknya meninggal dunia.

Cukai
Perniagaan Enterprise tidak perlu membayar cukai. Hasil pendapatan yang diperoleh akan dikenakan ke atas cukai peribadi pemilik. Keuntungan perniagaan akan dikira sebagai pendapatan individu. Oleh yang demikian kadar cukainya adalah berdasarkan kadar cukai individu.