Putu Bambu & Putu Piring

0
286

Apabila menyebut mengenai keunikan negara Malaysia, pastinya aspek pemakanan tidak terkecuali. Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan tradisional yang bukan saja unik malah menyelerakan. Dalam banyak-banyak kuih tradisional, putung bambu dan putu piring adalah antara yang menjadi kegemaran masyarakat kita. Sama ada putu bambu mahupun putu piring, kedua-dua makanan ini pasti membuat anda telan air liur apabila terpandang makanan ini di gerai-gerai tepi jalan mahupun di pasar malam. Dengan berintikan gula merah enak di bahagian dalam, serta campuran beras, beras pulut, kelapa parut dan air garam yang dikukus gebu di bahagian luar, sudah pastinya menjadikan anda tidak mahu melepaskan gulungan dan kepingan terakhir di pingggan. Apakah perbezaan antara putu bambu dan putu piring? Jawapannya ialah, putu bambu dan putu piring adalah sama, yang membezakan antara kedua-dua putu ini ialah saiz dan bentuknya saja.

Bentuk putu bambu adalah bujur dan memanjang seperti skrol ataupun batang paip, memandangkan acuannya yang diperbuat daripada buluh. Nama putu bambu sendiri meminjam nama buluh dalam Bahasa Inggeris iaitu bamboo, maka diberilah namanya putu bambu. Putu bambu dikukus secara memanjang. Manakala putu piring pula menggunakan acuan yang lebih memiring. Masyarakat pada zaman dahulu, mengandun dan membentuk putu piring di atas tapak tangan sebelum mengukus, sebab itulah bentuknya memiring. Namun pada masa kini, peniaga putu piring mempunyai acuan putu piring yang tersendiri menggunakan besi aluminium supaya putu piring mudah dibentuk semasa dikukus.

Menyediakan putu bambu dan putu piring amatlah mudah. Bahan-bahannya pula adalah tidak rumit untuk didapati. Kedua-dua putu ini mempunyai putu luaran dan juga inti. Inti dalaman ini adalah daripada gula Melaka yang dihancurkan. Inti ini perlu diletakkan dengan kadar yang bersesuaian supaya rasa putu dan inti sebati dan tidak terlalu manis. Jumlah gula merah yang terlalu banyak menenggelamkan rasa putu seterusnya menjadikan makanan ini cepat muak dan terlalu manis.

Bahan-bahan utama dalam penyediaan putu ialah beras, pulut beras, kelapa parut serta air garam. Cara penyediaannya amat mudah. Beras dan pulut beras yang telah dibasuh dikisar bersama sedikit air garam sehingga halus. Kisaran ini kemudiannya diayak dan dicampurkan dengan dengan sedikit air sehingga menjadi serbuk seperti serbuk roti. Taburkan campuran serbuk tadi ke dalam acuan dan masukkan inti gula Melaka.

Kemudian, tambahkan serbuk roti tadi sebagai penutup dan kukuskan. Bagi putu bambu, campuran serbuk tadi dimasukkan ke dalam gelungan buluh, gula Melaka, dan campuran serbuk tadi, kemudian dikukus. Hasil kukusan akan membentuk putu buluh yang berbentuk buluh. Manakala bagi putu piring pula, letakkan campuran serbuk tadi ke dalam acuan yang dilapiskan dengan kain putih berukuran 4cmx4cm, letakkan gula Melaka, kemudian tambahkan campuran serbuk tadi sebagai penutup dan kukuskan. Jika diamati secara jelas tekstur putu bambu adalah lebih moist dan padat berbanding putu piring. Hal ini kerana permukaan putu piring yang luas terdedah kepada stim ketika dikukus telah menjadikan putu piring lebih kering berbanding putu bambu. Walaupun begitu, kedua-dua putu ini enak dimakan bergantung kepada cita rasa pencinta putu ini sendiri. Di pasaran, ada penjual putu bambu suka meletakkan warna hijau dan mencampurkan esen pandan supaya putu mempunyai lebih rasa. Walhal bagi putu piring pula, ada peniaga yang mencampurkan sedikit kunyit dalam campuran beras dan pulut beras supaya lebih menarik. Selain itu, putu piring halba terkenal di negeri Kelantan. Dalam putu piring jenis ini, rempah ubi kayu digunakan bagi menggantikan beras. Rasa putu piring halba ini adalah sedikit berempah daripada putu piring biasa.

Seperti yang kita tahu, kuih putu ini ideal dimakan pada waktu petang bersama teh. Namun begitu, kuih putu ini sebenarnya boleh dinikmati pada bila-bila masa yang diingini. Hal ini kerana kuih ini sesuai dimakan ketika tengah hangat selepas dikukus, mahupun keadaan yang sejuk. Putu ini boleh dimakan pada waktu pagi, selepas sarapan. Tetapi kuantiti pengambilannya haruslah dalam jumlah yang kecil kerana putu ini telah sedia manis. Putu ini juga sesuai dimakan pada waktu panas dalam keadaannya yang kurang hangat.
Kuih tradisional Malaysia tidak terhad kepada putu bambu dan putu piring adalah warisan di nusantara kita. Warisan yang unik ini memberikan identiti kepada kita tentang peri pentingnya penjagaan warisan ini sehingga ke generasi yang akan datang. Dengan adanya pembangunan dan kepesatan ekonomi, pengaruh seperti makanan ringan yang tidak berkhasiat sekali gus menutup peluang industri makanan tradisional untuk diperkembangkan. Makan-makan juga, jangan lupa belajar untuk membuatnya supaya nanti kita tidak akan rindu apabila kuih-muih tradisional seperti ini hilang ditelan zaman.