Resepi Kejayaan Habib Jewel

0
829

Barang kemas dan wanita amat sinonim bukan? Jika diberi pilihan, pasti rambang mata dibuatnya hingga mampu menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk memilih barang kemas yang sesuai untuk diri sendiri. Terdapat banyak nama-nama besar dalam industri barangan kemas di Malaysia, dan antaranya adalah Habib Jewel. Siapa yang tidak mengenali Habib Jewel? Namanya sahaja sudah cukup gah terkenal dengan penjualan berlian sebagai perhiasan diri. Produknya bukan sahaja dilihat setanding dengan produk luar negara, malah nampak mewah dan berkualiti.

Reputasinya sangat tinggi di kalangan peminat berlian lebih-lebih lagi apabila menjadi syarikat barang kemas berlian pertama di Malaysia yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Laluan Habib Jewel dilihat begitu cantik dan elok sekali, namun pernahkah kita mengetahui bagaimana syarikat ini bermula?

Habib Jewel pada awalnya bermula dengan nama M.A Habib Mohamed yang diasaskan pada tahun 1958 oleh Datuk Haji Habib Mohamed di Pitt Street, Pulau Pinang. Bermula dengan hanya sebagai satu perniagaan keluarga, beliau telah berjaya memikat hati para pelanggannya dengan sifatnya yang gemar mendahulukan kehendak pelanggan. Pembabitan beliau dalam bidang perniagaan barang kemas bermula secara kecil-kecilan sahaja.

Pada mulanya, beliau menyara keluarga hanya dengan bekerja dengan orang di kedai emas. Lama-kelamaan, beliau mula terfikir untuk memiliki perniagaan sendiri pula. Beliau memilih perniagaan barangan kemas kerana ianya mudah dan tidak perlu membanting tulang di tengah panas di samping nilai emas itu sendiri yang susah untuk mengalami susut nilai. Dengan bermodalkan RM3800, beliau memulakan perniagaan kedai emasnya sendiri. Beliau mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan kemudiannya membersihkan barang tersebut hingga menjadi cantik lalu dijual kepada kedai emas yang lain, sama seperti pemborong.
Bertitik-tolak daripada itulah, perniagaan kecil-kecilannya yang sekadar untuk menyara hidup mula berkembang luas.

Ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang idola, dan hanya memikirkan untuk menjual barang kemas pada harga yang berpatutan sahaja mengikut aturan kehendaknya. Apabila perniagaannya dilihat semakin memberi keuntungan, beliau menambah dua lagi cawangan pada 1970-an, namun kedua-duanya kurang memberangsangkan. Disebabkan itu, kedua-dua cawangan tersebut ditutup dan beliau kemudiannya membuka cawangan baru di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987.

Ketika itu, beliau memberanikan diri untuk menghasilkan sendiri produk barangan kemasnya. Beliau mengambil inspirasi daripada keinginan wanita yang sukakan sesuatu bercorak feminin dan floral tetapi berkualiti.
Legasi perusahaan Habib diteruskan oleh anak lelaki tunggalnya iaitu Datuk Meer Sadik yang merupakan graduan lepasan jurusan perniagaan. Selepas sahaja anaknya tamat belajar, beliau terus membawa anaknya untuk bekerja di bilik pameran Habib secara sambilan. Anaknya ketika itu amat meminati bidang pengiklanan dan telah mendapat banyak tawaran untuk menjadi model iklan.

Disebabkan minat anaknya itu, Habib mula memasarkan iklannya secara agresif di televisyen dan juga radio. Ketika itu, dapat diperhatikan yang semakin ramai pelanggan datang mengunjungi bilik pameran. Meer amat menggalakkan pengiklanan di media massa yang mana perkara itu tidak pernah dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Sejak itu, Habib mula menyedari bahawa kombinasi didikan moden yang diterima anaknya ketika menuntut di universiti dan cara perniagaan tradisional yang diamalkannya selama ini menjadi kombinasi yang bermanfaat dalam membangunkan Habib Jewel.

Namun, untuk mengekalkan Habib Jewel bukan satu perkara yang mudah. Kos selalu menjadi masalah utama dalam setiap perniagaan. Perkara tersebut juga terpaksa dihadapi Habib dan beliau berusaha untuk menampung kos tersebut dengan melakukan pelbagai pekerjaan lain seperti membuka kedai bunga dan menjual serbuk kopi.

Datuk Meer Sadik terus menjadi harapan tunggal bapanya untuk menerajui Habib Jewel ekoran anaknya yang lain kesemuanya perempuan dan ada yang mengikut suami ke luar negara. Di samping itu, Meer juga merupakan ahli gemologi terlatih daripada Gemological Institute of America dan juga pemegang ijazah pengurusan perniagaan, dan ini menjadi asas kukuh untuk beliau memajukan Habib Jewel.

Meer yang kini memegang posisi Pengarah Urusan dibantu oleh isteri tercintanya, Datin Zarida Noordin telah melakukan banyak perubahan terhadap Habib Jewel. Mereka mempergiatkan promosi sama ada di media massa dan cetak hingga mencecah ratusan ribu ringgit. Jika dilihat pada mata kasar, promosi sebegitu agak membazir, namun jika dilihat untuk jangka masa panjang, ianya merupakan satu strategi yang cukup berbaloi.

Kerja keras mereka berdua tidak terhenti setakat itu sahaja, mereka juga giat dalam menambah jumlah cawangan Habib Jewel di seluruh Malaysia demi memenuhi permintaan pelanggan. Dengan usaha yang tiada henti dan berterusan itu melayakkan Habib Jewel memenangi beberapa anugerah berprestij seperti ‘Reader’s Digest Trusted Brand Award’ untuk beberapa tahun.

Kejayaan yang dikecapi oleh Habib Jewel dalam bidang perniagaan barangan kemas boleh dijadikan motivasi untuk usahawan kecil lain yang baru bertapak untuk terus maju ke hadapan. Kunci untuk setiap kejayaan adalah kerja keras dan kejujuran dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Walaupun sudah stabil dan mempunyai nama besar di Malaysia, Habib Jewel tetap seperti ketika di awal penubuhannya dahulu, bukan sekadar menjual, tetapi memberikan rundingan terbaik kepada pelanggan.

Hal inilah yang membuatkan pelanggan setia kepada mereka kerana yakin dengan kualiti dan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka. Tambah manis lagi, Habib Jewel telah menjadi syarikat barangan kemas pertama di Malaysia yang tersenarai di papan kedua Bursa Malaysia, dan pada 2002, syarikat induknya, Habib Corp Bhd berpindah pula ke papan utama.