Roti John

0
1995

Dalam banyak-banyak makanan yang anda jumpa ketika berkunjung ke pasar malam, Roti John ialah salah satu makanan yang anda tidak akan terlepas untuk membelinya. Roti John boleh dikelaskan sebagai adik-beradik burger, benjo, oblong dan lain-lain yang boleh juga terdapat di gerai-gerai kecil di mana adik-beradik ini dijual. Namun yang menariknya mengenai Roti John ini ialah, ialah diberi nama, Roti John.

Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang asal usulnya nama Roti John diberi. Setelah diselidik, nama Roti John diambil daripada beberapa peristiwa. Pertama, nama Roti John berasal dari Singapura, sekali gus ada yang menyatakan Roti John memang berasal dari Singapura, Ceritanya begini, sekitar tahun 70an, tentera British di pangkalan laut di Sembawang (kini dikenali dengan nama Singapura) gemar makan hidangan telur dadar dan bawang untuk dimakan bersama roti di sebuah gerai. Hidangan tersebut dimakan bersama sos cili. Jadi, pemilik gerai tersebut mencari ilham untuk menamakan hidangan tersebut supaya memudahkan pekerjanya ketika pesanan diambil. Pada waktu itu juga, mat salleh yang berkhatan diberi gelaran ‘John’ oleh wanita-wanita Melayu yang berpacaran dengan mat salleh ini. Kemudian, pemilik kedai tersebut mendapat ilham dari nama John tersebut dan menggelarkan roti tersebut sebagai Roti John.

Keduanya, Roti John dikatakan diambil daripada nama pemilik roti panjang Perancis yang bernama John. Bukan itu saja, malah nama Roti John kononnya berasal daripada roti panjang di Negara Inggeris yang bernama long johns.

Seperti yang dilihat di pasar-pasar malam, Roti John mempunyai dua saiz iaitu pendek dan panjang. Saiz Roti John yang pendek adalah sekitar 6 inci dan berharga lebih kurang RM3.00 sebungkus di pasar malam tempatan. Manakala Roti John bersaiz panjang ada dua kali ganda saiz Roti John pendek yang berharga lebih kurang RM5.00 sebungkus.

Para peniaga Roti John sering berevolusi untuk menghasilkan Roti John yang menarik dan sedap mengikut kehendak pembeli. Namun sekiranya anda baru mengenali Roti John, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Roti John adalah sangat mudah. Antara bahan yang digunakan ialah daging ayam atau daging lembu (mengikut cita rasa anda tetapi di pasar malam, hanya daging ayam yang digunakan), bawang besar, bawang putih, halia, daun bawang, daun sup, lada hitam, telur dan roti perancis. Manakala kobis, timun, tomato dan sos cili pula adalah sebagai bahan untuk hiasan.

Langkah pertama dalam menyediakan inti Roti John ialah panaskan sedikit minyak, tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan daging, kemudian gaul hingga sebati. Pastikan kesemua bahan ini dicincang halus. Seterusnya masukkan lada hitam, daun bawang, daun sup dan alihkan campuran ini ke dalam satu bekas. Pecahkan telur dalam bekas tersebut, dan kacau sehingga rata. Pada tahap ini anda telah mempunyai campuran untuk inti Roti John yang separa masak.

Langkah kedua ialah untuk memasakkan campuran tadi. Pastikan anda menggunakan kuali non-stick pan bagi mengelakkan adunan anda menjadi terlalu berminyak. Tuangkan campuran tadi ke atas kuali dan ratakan. Teknik mencincang bawang dan daging adalah penting supaya bahan ini tersusun elok di atas kuali. Biarkan adunan tadi separa masak. Kemudian, lekapkan roti yang telah dibelah dua ke atas adunan yang diletak di atas kuali tadi. Tunggu beberapa saat sementara adunan tadi melekap pada roti. Tekan roti secara perlahan-lahan sekiranya anda rasa adunan tadi telah masak sepenuhnya. Setelah adunan tadi menjadi keperangan, anda boleh balikkan roti tadi dan angkat.

Langkah terakhir ialah untuk menambah bahan tambahan untuk menjadikan Roti John ini lebih bernutrisi dengan cara menambahkan kobis, timun, tomato yang telah dihiris halus. Kemudian, tambahkan sos cili dan sedikit mayonis mengikut cita rasa anda. Sekarang, Roti John anda sudah siap dan sangat enak dimakan ketika hangat.

Sudah jelas, dengan bahan yang ringkas dan mudah didapati, anda boleh menghasilkan Roti John anda sendiri dan tidak perlu ke pasar malam lagi untuk makan Roti John. Seperti adik-beradik burger, benjo dan oblong, Roti John juga merupakan makanan segera yang enak. Namun perlu diingatkan bahawa Roti John mempunyai nutrisi yang lebih baik serta berkhasiat berbanding adik-beradik yang lain kerana ia kaya dengan sayur-sayuran seperti yang telah dinyatakan.