Sejarah MAS

0
941

Malaysia Airlines (MAS)

Tahukah anda semua bahawa MAS merupakan syarikat penerbangan rasmi kerajaan Malaysia? Syarikat ini ditubuhkan bagi menyediakan satu sistem pengangkutan penerbangan awam yang cekap dan setanding dengan perkhidmatan pengangkutan penerbangan antarabangsa. Penubuhannya mampu memberikan sumbangan besar kepada perdagangan dan perusahaan pelancongan di Malaysia. Selain itu, MAS juga ditubuhkan setelah Malaysia dan Singapura membuat pengumuman bahawa mereka perlu menubuhkan syarikat penerbangan yang berasingan bagi menjaga kepentingan kedua-dua buah negara. Malaysia pada mulanya telah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan dengan menggunakan nama Malaysia Airlines Berhad (MAL), namun nama tersebut kemudian ditukar kepada Malaysian Airlines Sistem Berhad atau MAS. Lambang wau Kelantan pula telah dipilih sebagai simbol syarikat penerbangan ini kerana mempunyai unsur tradisi dan kebudayaan negara Malaysia.

Sejarah MAS

12/10/1937 – Penubuhan Malayan Airways Limited (MAL) hasil daripada kerjasama dua buah syarikat iaitu Straits Steamship Company dan Imperial Airways.

2/4/1947 – Servis pertama bermula dengan pesawat Airspeed Consul terbang dari Singapura ke Kuala Lumpur. British Overseas Airways Corporation (BOAC) yang merupakan pelopor kepada teknologi udara dan pemegang saham utama dalam MAL, kemudiannya membekalkan perkhidmatan teknikal seperti membaiki pesawat dan latihan. Kehadiran BOAC juga membolehkan MAL menjadi ahli IATA.

1958 – MAL membeli 6 pesawat baru untuk digunakan bagi penerbangan di luar Asia Tenggara.

1959 – MAL mula membeli pesawat jet, Vickers Viscount.

1960 – Lokheed Super Constellation digunakan untuk sektor Asia. Pembelian pesawat Briston Britania telah membolehkan penerbangan MAL maju setapak apabila memulakan penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur dan Hong Kong.

1963 – Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 telah membawa kepada penukaran nama Malayan Airways kepada Malaysian Airlines Limited. Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, MAL bertanggungjawab menghubungkan Sabah, Sarawak dengan Semenanjung dan juga Singapura. Melihatkan kepada peri pentingnya integrasi di antara Borneo dan Semenanjung Malaysia, maka Borneo Airways telah bersetuju untuk bergabung dengan MAL pada tahun 1963 dan membeli 5 pesawat F27.

1966 – Singapura mencapai kemerdekaan. Malaysia dan Singapura menjadi pemegang saham utama MAL dan membawa kepada penukaran nama Malaysia-Singapore Airlines (MSA). MSA melebarkan sayapnya dengan memulakan servis ke Manila, Perth, Sydney dan Taipei. Dua tahun kemudian, servisnya melebar ke Tokyo dan Bali manakala pada 1969, sayapnya telah tiba ke Madras dan Colombo.

1971 – Kerjasama antara Malaysia dan Singapura berakhir berikutan perbezaan pendapat di antara dua kerajaan ini. Singapura mahu menumpukan perhatian kepada destinasi antarabangsa manakala Malaysia mahu menumpukan kepada perhubungan domestik. Ini menyaksikan lahirnya dua penerbangan iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bagi Malaysia dan Singapore Airlines untuk Singapura. Dalam permulaan perkhidmatannya, MAS telah mengambil alih daripada Malaysia-Singapore Airline Limited (MSA) 9 buah kapal terbang jenis F27 dan 3 buah jenis BN 2.

1972 – MAS menjadi ahli Orient Airlines Association (OAA).

1975 – Majalah Wings of Gold diperkenalkan.

1976 – MAS mula menggunakan teknologi komputer untuk operasi pesawatnya. Servis udara ke Frankfurt,  Amsterdam dan Paris diperkenalkan.

1985 – MAS memasuki sektor korporat dengan menawarkan 70 juta saham untuk didagangkan melalui Dasar Penswastaan. MAS juga membina kemudahan membaiki dan membaikpulih pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah,  Subang dan mendirikan ibu pejabat baru setinggi 36 tingkat di Jalan Sultan Ismail,  Kuala Lumpur.

1986 – MAS menukar identitinya kepada Malaysia Airline atau Penerbangan Malaysia. MAS juga telah dipilih sebagai sepuluh penerbangan terbaik dunia dan dianugerahkan sebagai penerbangan lima bintang oleh Skytrax.

2000 hingga kini – MAS semakin mengembangkan sayapnya ke persada dunia walaupun pelbagai peristiwa pahit telalh dilalui mereka seperti tragedi MH370 dan MH17. Penggunaan pesawat jenis Airbus yang mula digunakan sejak tahun 2012 menjadikan MAS mampu bersaing sama hebat dengan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa yang lain.

Antara tragedi hitam dalam sejarah MAS

Nahas udara MH653

Kes nahas pertama yang paling teruk direkodkan dalam sejarah MAS melibatkan pesawat MH653 yang terhempang di Tanjung Kupang pada Disember 1977 dan mengorbankan 100 nyawa. Pesawat tersebut berlepas pada 7.21 petang dari Lapangan Terbang Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Namun, pada jam 7.46 petang, juruterbang Kapten G.K. Ganjoor semasa mendekati landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang melaporkan kepada menara kawalan mengenai kehadiran seorang “perampas yang tidak dikenali” di dalam pesawat.

Insiden dilaporkan serta-merta kepada pihak berkuasa yang membuat persediaan kecemasan. Namun, beberapa minit kemudian kapten Ganjor memberitahu menara kawalan bahawa beliau akan mengalihkan perjalanan ke Singapura pula. Malangnya, pesawat terbabit tidak berjaya mendarat di negara itu. Pada 8.36 malam, penduduk di Kampung Ladang, Tanjung Kupang melaporkan satu letupan dan kebakaran di paya bakau berdekatan, di mana bangkai MH653 ditemui. Terdapat spekulasi mengatakan bahawa Tentera Merah Jepun yang bertanggungjawab untuk rampasan pesawat tersebut. Walaubagaimanapun, tiada sebarang pengesahan dibuat ke atas spekulasi tersebut.

Misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum terungkai

Sehingga ke hari ini, nasib 239 anak kapal dan penumpang pesawat MH370 penerbangan Kuala Lumpur-Beijing masih tidak diketahui. Setelah hampir lebih setahun hilang tanpa khabar berita, misteri kehilangan pesawat tersebut masih terus menjadi tanda tanya. Pesawat hilang terbabit merupakan sebuah Boeing 777-200 dan mempunya rekod keselamatan yang amat baik selama ianya beroperasi sehingga tahun lepas.

Pelbagai spekulasi dan teori timbul berkait tentang kehilangan pesawat ini, namun ianya hanya spekulasi yang tiada pengesahan daripada mana-mana pihak.