Strategi Pemasaran Menggunakan Risalah (Brochure)

0
3086

Mengadakan aktiviti promosi merupakan komponen penting dalam mengembang dan memajukan sesbuah perniagaan.

Bentuk kegiatan promosi yang biasa dibuat adalah pengiklanan perkhidmatan atau produk melalui pelbagai media pengiklanan seperti radio, televisyen, surat khabar, internet, sepanduk dan juga melalui pengedaran risalah (brochure). Tujuan mengadakan kegiatan promosi adalah untuk menyebarkan maklumat berkenaan perniagaan yang ditawarkan bagi menarik minat orang ramai.

Bagi perusahaan kecil, jenis kegiatan promosi atau pengiklanan yang biasa dibuat adalah melalui iklan surat khabar atau menggunakan media cetak risalah. Bentuk promosi sebegini melibatkan kos yang lebih murah.

Bagi mengadakan pengiklanan melalui pengedaran risalah yang berkesan, anda perlu berhati-hati supaya risalah-risalah itu nanti tidak menjadi bahan buangan dan sampah-sarap semata-mata.

Berikut adalah beberapa tips mempromosikan perniagaan dengan menggunakan risalah dengan berkesan:

1. Membuat Rekaan Risalah yang Menarik

Rekaan sesuatu risalah hendaklah disesuaikan dengan jenis perniagaan atau produk yang dijual, dari segi komposisi warna, pilihan gambar, jenis muka taip (font), jenis kertas dan tema yang digunakan.

Contohnya, perniagaan benih tanaman sesuai menggunakan kertas berlatar hijau cerah; perniagaan mencari jodoh sesuai dengan tema romantik menggunakan kertas merah jambu muda; risalah untuk pendidikan biasanya memaparkan rekaan eksklusif dan disertai gambar-gambar yang inovatif dan sebagainya.

2. Isi Risalah

Isi atau perkataan-perkataan yang dicetak dalam risalah harus menerangkan perkara yang hendak dipromosikan. Isi yang dimuatkan sebaik-baiknya ringkas agar mudah difahami serta mampu menarik perhatian.

Hindarkan daripada menokok tambah penerangan tentang produk supaya para pelanggan tidak merasa kecewa atau tertipu, kerana ini dapat menjejaskan nama baik perniagaan.

3. Lakukan Penilaian

Sebelum lembaran-lembaran risalah anda dicetak dalam jumlah besar, ada baiknya anda melakukan penilain dan ujian terhadap keberkesanan risalah tersebut. Minta pendapat rakan-rakan anda tentang keberkesanan risalah tersebut.

4. Tentukan Sasaran

Dalam mengadakan promosi menggunakan risalah, perkara utama yang perlu anda buat ialah menentukan sasaran pelanggan. Contohnya untuk mengiklankan kursus komputer, pengedaran risalah sesuai dilakukan berdekatan dengan pusat-pusat pendidikan, ketika para pelajar pulang dari sekolah; risalah perkhidmatan kredit dapat diedarkan di kawasan pasar; risalah perniagaan makanan boleh diedarkan di kawasan pelancongan. Jadi, edarkan risalah anda pada orang dan tempat yang sesuai.

Kadangkala terdapat peniaga yang mengedarkan risalah dengan membuangnya begitu sahaja di jalan raya. Cara ini kurang berkesan kerana tidak ramai yang mahu memungut risalah di jalanan dan membacanya. Selain itu, cara ini juga menjejaskan kebersihan dan merosakkan pemandangan.

Beberapa peniaga mempunyai taktik tertentu supaya iklan risalah mereka lebih berkesan, salah satunya dengan menugaskan pekerja-pekerja yang berpenampilan menarik untuk mengedarkan risalah-risalah promosi kepada sasarannya.

Walaupun kos membuat risalah agak murah jika dibandingkan dengan media promosi lain, tetapi jika sasarannya mengena, ia umpama tidak membelanja apa-apa.

5. Menyatakan Alamat dan Nama Dengan Lengkap

Anda harus memastikan bahawa nama dan alamat perniagaan anda dinyatakan dengan betul. Perkara ini seringkali dipandang remeh oleh banyak peniaga sehingga pengedaran risalah tidak membuahkan hasil yang optimum malahan gagal sama sekali.

Sebagai contoh, sekiranya terdapat pembaca atau pelanggan yang disasarkan merasa berminat dengan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan, mereka tidak akan tahu bagaimana untuk menghubungi anda jika risalah yang diedarkan tidak mengandungi alamat dan maklumat perniagaan anda dengan lengkap. Oleh itu, semaklah sebelum anda mencetak risalah perkhidmatan dan produk anda.