Ubat Mujarab Tambah Jualan

0
400

Selain perancangan dan kewangan yang teliti, pembawakan watak seorang peniaga memainkan peranan penting dalam perniagaan. Jatuh bangun sesuatu perniagaan bergantung kepada kebolehan seseorang mengembangkan empayar perniagaannya. Jadi, bagaimana penambahbaikan yang boleh dibuat bagi membantu seseorang berjaya dalam perniagaan yang diceburi?

Dress what you want to be, not what you expected to be. Penampilan semasa mendekati pelanggan adalah sangat penting, salah satunya ialah berpakaian kemas. Berpakaian kemas tidak semestinya perlu mahal, namun pemilihan pakaian yang sesuai dan sedap mata memandang membolehkan seseorang itu mudah diterima dan meyakinkan. Sekiranya anda sedang bertemu dengan klien ditempat yang santai dan relaks, elakkan memakai pakaian yang terlalu formal. Pakaian yang formal boleh menimbulkan mood yang serius dan kurang selesa. Sebolehnya pakailah pakaian yang bertepatan dengan tempat berjumpa seperti ‘smart casual’ iaitu baju T berkolar dan berseluar jeans serta kasut tutup bagi lelaki, dan blouse dan skirt labuh bagi wanita. Bukan itu saja, pemilihan warna yang sesuai boleh menimbulkan mood perbincangan. Elakkan memakai pakaian yang terlalu terang atau menjolok mata. Hal ini boleh mengganggu konsentrasi pelanggan ketika sedang berurusan. Pilihan warna pakaian boleh disesuaikan bergantung kepada bentuk badan, warna kulit serta ketinggian seseorang tersebut. Pilihlah warna pakaian yang bertona sejuk seperti biru dan hijau dan dipadankan dengan warna yang cerah. Jika ingin tampak sedikit ‘daring’ dan menonjol, gunakanlah warna bertona panas seperti merah, jingga atau kuning. Penampilan yang sedap dipandang bukan saja memudahkan urusan perniagaan, malah membantu dalam meningkatkan keyakinan seseorang.

Dalam memujuk klien atau pelanggan supaya berminat dengan perniagaan kita, ‘approach’ yang dilakukan mestilah tepat dan sesuai. Elakkan pendekatan seperti memaksa dan mendesak pertemuan dengan klien. Sekiranya pelanggan sasaran menunjukkan tanda kurang berminat, ucapkan terima kasih dan usaha lagi. Pelanggan yang berminat akan bertanya dengan lebih lanjut mengenai produk jualan, jadi terangkan secara terperinci tentang produk dengan teratur. Waktu yang sesuai mendekati pelanggan juga amat penting. Hal ini bergantung kepada keadaan dan tempat pendekatan yang dipilih. Baca situasi semasa dan carilah waktu yang sesuai untuk mendekati pelanggan. Peniaga harus bijak membaca keadaan semasa pelanggan sasaran. Sewaktu berinteraksi dengan pelanggan, pandanglah mata pelanggan supaya maklumat yang hendak disampaikan jelas. Cuba tarik perhatian dan minat pelanggan dengan cara memerhati keadaan fizikal pelanggan. Berucaplah dengan sopan dan gunakan kata ganti nama yang sesuai supaya perbualan tidak menyinggung perasaan dan sebagainya.

Bagaimana mengekalkan diri anda untuk terus bermotivasi dalam perniagaan? Tetapkan satu matlamat yang ingin anda capai. Lebih baik, matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Dengan adanya matlamat seperti ini, anda tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha mengembangkan perniagaan anda. Tetapkan objektif dan sasaran perniagaan secara jelas. Apabila aspek ini jelas, anda akan lebih fokus dan berusaha mencapai matlamat, objektif serta sasaran perniagaan.

Sebagai peniaga, sikap kreatif dan inovatif perlulah ada dalam diri. Kembangkan perniagaan anda. Sebagai contohnya, sekiranya anda seorang penjual telefon bimbit, ketahuilah sesuatu barang tersebut tidak datang secara satu, tetapi dengan pelbagai aksesori. Variasikan peralatan telefon bimbit dengan cara menjual barangan lain telefon bimbit seperti casing telefon, earphone, pengecas dan lain-lain. Bukan itu saja, pelbagaikan skop perniagaan sebagai contohnya berniaga secara lisan dan juga atas talian. Dengan cara ini, pelanggan sasaran lebih mudah untuk didekati. Selain itu, mengikut perkembangan semasa juga adalah penting dalam perniagaan. Ikutilah trend-trend perniagaan yang terkini supaya tidak ketinggalan. Ingat, pastikan trend yang diikuti sesuai dengan kos dan peruntukan perniagaan anda. Malu bertanya sesat jalan. Tidak salah bertukar-tukar pendapat dengan peniaga lain. Selain meluaskan jaringan, anda juga dapat menimba dan berkongsi pengalaman baru bersama mereka.

Customer is always right. Adakah anda setuju dengan kenyataan ini? Memang benar, kepuasan pelanggan terhadap produk sangat penting supaya pelanggan tidak akan serik untuk berurusan lagi. Bagi mengelakkan kejadian seperti ketidakpuasan hati dan tarik diri dalam urus niaga, pastikan peniaga dan pelanggan jelas dengan maklumat dan prosedur jual beli. Dengan cara ini kerugian dan ketidakpuasan hati kedua belah pihak dalam dielakkan. Peniaga juga perlu bijak dalam menangani pelanggan yang boleh dikategorikan sebagai cerewet. Bagi pelanggan seperti ini, mereka sangat memegang ungkapan customer is always right tersebut jadi mereka mementingkan aspek seperti jangka masa proses, perkhidmatan, kepuasan dan sebagainya. Justeru, peniaga perlu bijak menangani mereka dan dalam masa yang sama berusaha untuk mengelakkan daripada kehilangan pelanggan. Peniaga boleh memenuhi kehendak pelanggan ini dengan memberikan promosi percuma dan sebagainya.

Mengembangkan perniagaan tidaklah terlalu sukar sekiranya menggunakan pendekatan yang betul. Segala penambahbaik dan perubahan yang dilakukan perlu sesuai dengan keadaan perniagaan semasa. Perkembangan perniagaan tidak hanya terikat pada penambahan modal, tetapi pendekatan selesa yang digunakan terhadap pelanggan. Selamat mencuba!