Wanita vs Lelaki : Tabiat Membeli-belah

0
255

Wanita dan lelaki umumnya berbeza dalam tabiat dan perlakuan baik dari segi makan, berjalan, berhibur sehinggalah ke aktiviti membeli-belah. Cara pemikiran juga berbeza bergantung kepada latar belakang budaya dan masyarakat. Dalam aspek membeli-belah, wanita sering di stereotype kan sebagai golongan yang kuat membeli-belah dan mempunyai tabiat yang agak negatif. Namun begitu, ketahuilah bahawa lelaki juga mempunyai tabiat membeli-belah yang tersendiri. Perbandingan tabiat membeli-belah antara lelaki dan wanita boleh dilihat secara jelas, sama ada dalam hal-hal yang kecil sehinggalah hal-hal yang besar.

Satu aspek yang boleh dibandingkan antara kedua gender ini ialah keluaran produk-produk di pasaran. Jika dilihat di pasaran semasa, produk bagi wanita adalah lebih senang didapati. Barangan seperti pakaian, kasut, aksesori dan lain-lain untuk wanita boleh didapati di mana-mana tempat jualan daripada tempat jualan yang murah seperti pasar malam, bazar tengah malam sehingga di pusat membeli-belah yang mahal seperti Pavillion, dan lain-lain. Sudahlah mudah didapati, harganya pula lebih murah dan beraneka pilihan. Satu pemerhatian yang telah dijalankan di Kuala Lumpur, julat harga bagi sepasang kasut harian wanita seperti selipar dan kasut separa tinggi tidak bertutup ialah dari RM10 hingga RM30. Rata-rata wanita berpendapat kasut bukan berkeluaran pereka terkenal ataupun butik-butik yang berharga RM50 dan lebih sudah dianggap mahal.

Walhal barangan bagi orang lelaki adalah kurang pelbagai dan hanya terdapat di tempat-tempat tertentu saja. Selain kurang menarik, barangan lelaki di pasaran borong atau murah adalah terhad dan mempunyai harga yang tinggi sedikit berbanding harga barangan wanita. Sebagai contohnya seluar jeans untuk lelaki di Pasar Downtown The Mines, Seri Kembangan adalah berharga dalam lingkungan RM80 ke atas. Manakala bagi wanita seluar jeans yang pelbagai fesyen seperti palazzo, legging, jegging dan sebagai boleh didapati dari harga serendah RM10 sahaja.

Merancang pembelian semasa membeli adalah salah satu antara langkah bijak daripada berlakunya pembelian barang yang sia-sia, namun sifat ini terkecuali bagi kaum wanita. Wanita kebiasaannya tidak merancang secara khusus dan sering melanggar perancangan membeli-belah mereka sendiri. Berbanding wanita, lelaki lebih selesa merancang pembelian sebelum membeli dan menjadikan mereka lebih fokus semasa dalam proses membeli-belah.

Mari kita gambarkan situasi membeli-belah seorang lelaki bernama Arif dan seorang wanita bernama Syikin. Arif ingin membeli sepasang kasut kulit jenama Timberland yang berharga sekitar RM500 ke atas, maka Arif akan berkunjung ke kedai Timberland sahaja. Sekiranya kasut yang diingininya tidak dijumpai, Arif akan mencari kasut tersebut di tempat lain pada masa yang lain dan proses pencarian kasut tersebut tamat. Berlainan pula dengan Syikin yang mempunyai rutin membeli-belah yang sangat berbeza dengan Arif. Syikin tidak suka merancang pembelian barangan dan dia lebih suka melakukan window shopping di seluruh kedai mahupun gerai tanpa merancang atau mengetahui barangan apa yang mahu dibelinya. Dalam aktiviti window shopping tiada barang yang khusus yang ingin dibeli oleh seorang wanita kerana wanita menganggap membeli-belah sebagai terapi melainkan wanita menginginkan sesuatu yang benar-benar diperlukan. Syikin akan berjalan dari kedai ke kedai yang lain untuk melihat dan membeli apa saja yang diingininya. Sekiranya terdapat barang yang cantik di matanya, dia akan membeli.

Manakala jika dilihat daripada aspek pembelian pula, kaum lelaki mempunyai kriteria-kriteria yang tertentu dalam membeli barang. Sebagai contohnya lelaki akan membeli barangan yang selesa dipakai, berkualiti dan tahan lama. Oleh sebab itulah produk barangan lelaki adalah berharga lebih tinggi berbanding dengan produk barangan wanita. Berdasarkan kriteria ini jugalah lelaki kurang kerap membeli-belah berbanding wanita. Tetapi tak semua lelaki menetapkan kriteria seperti ini, ada juga lelaki yang menjadikan beli-belah sebagai hobi di waktu lapang namun peratusannya adalah sangat kecil. Manakala wanita suka membeli kerana mereka suka mengumpul barangan seperti kasut, blouse, dress dan sebagainya. Umumnya memang barangan wanita terdapat dalam pelbagai jenis, saiz dan pilihan. Bukan itu saja, wanita memilih barangan kerana sifat semulajadi wanita yang sukakan kecantikan. Wanita lebih mementingkan fesyen dan kecantikan pakaian berbanding lelaki. Maka tidak hairanlah wanita mempunyai lebih daripada sepasang kasut dan koleksi pakaian mereka juga memenuhi keseluruhan ruang almari mereka!

Sifat suka membeli-belah adalah suatu perkara yang subjektif dan tidak boleh dilabelkan sama ada positif ataupun negatif. Memandangkan sifat semulajadi antara lelaki dan wanita adalah berbeza, maka tabiat membeli-belah mereka juga berbeza. Tabiat ini bergantung kepada budaya, kawasan tempat tinggal, peringkat umur dan minat terhadap aktiviti membeli-belah itu sendiri. Setiap orang mempunyai sebab yang tersendiri ke atas sesuatu pembelian tersebut sama ada keperluan dan kehendak. Sentiasalah mementingkan keperluan daripada kehendak supaya apa yang dibeli sesuai dengan kegunaan dan keinginan. Pepatah Melayu berkata, ukur lah baju dibadan sendiri. Berbelanjalah bersesuaian dengan pendapatan dan keperluan kita. Akhir kata, pengguna bijak, faedahnya banyak.